March 29, 2016

RM800 JUTA TUNTUTAN SEMULA GST TIDAK DIBAYAR




KUALA LUMPUR 29 MAC 2016 - Sebanyak RM800 juta tuntutan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dibayar kepada pemohon setakat ini kerana terdapat maklumat diragui dan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, perkara itu adalah antara faktor tuntutan semula GST tidak dapat dibayar dalam tempoh 14 hari mengikut prosedur ditetapkan.

"Walaupun pada April tahun lalu jumlah permohonan yang berjaya diproses dalam masa 14 hari meningkat kepada 66.6 peratus pada Disember, namun masih terdapat halangan dalam pelaksanaan proses bayaran balik GST kepada syarikat-syarikat pemohon," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mengenai proses penebusan balik wang hasil kutipan GST yang didapati mengambil masa selama tiga bulan dan tindakan kementerian bagi mengatasi masalah itu.

Mengulas lanjut, Tee Yong berkata, selain itu faktor syarikat tidak dapat dihubungi selepas tujuh hari daripada tarikh pengeluaran notis untuk pengesahan lanjut, tiada maklum balas daripada pemohon kepada 'pertanyaan' daripada pihak Jabatan Kastam Di Raja Malaysia (JKDM) dan maklumat perbankan yang tidak lengkap juga antara sebab tuntutan lambat atau tidak dapat diproses.

Tee Yong berkata, terdapat dua tempoh proses tuntutan balik GST iaitu 14 hari bekerja bagi tuntutan secara dalam talian melalui sistem MyGST dan 28 hari bekerja bagi tuntutan secara manual atau serahan tangan.

Beliau berkata, beberapa prosedur terlibat telah ditambah baik termasuk mempercepatkan proses pembayaran balik bagi kes permohonan yang lengkap dan meningkatkan bilangan pegawai terlibat untuk memproses tuntutan.

Selain itu, katanya semakan berasaskan profil risiko ke atas syarikat terlibat dilaksanakan bagi mengelakkan tuntutan palsu. - Bernama

SUMBER : www.sinarharian.com.my/nasional/rm800-juta-tuntutan-semula-gst-tidak-dibayar-1.503187
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...