February 13, 2013

PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI PENGARAH


From: xxx@gmail.com
To:
mr.radzi@yahoo.com
Sent: Wednesday, February 6, 2013 3:04 PM
Subject: Perletakan Jawatan Sebagai Pengarah


SOALAN 

Salam Encik Radzi,

Saya telah meletakkan nama saya sebagai pengarah syarikat Sdn Bhd. didalam pertubuhan syarikat.
Kini saya merasakan terdapat risiko yang tinggi jika saya terus berada di dalam syarikat tersebut sebagai jawatan pengarah.
Saya mohon tanya, apakah cara yang boleh saya gunakan untuk berhenti dalam syarikat tersebut?
Kerana terdapat pelbagai alasan yang digunakan oleh pihak syarikat baru dan majikan saya untuk saya terus menggunakan nama saya.

Mohon tanya juga bagaimana cara lain untuk meletakkan jawatan secara rasmi sebagai pengarah syarikat.


Terima kasih
xxx


JAWAPAN

Salam,

Jawatan Pengarah Syarikat merupakan salah satu jawatan yang diwujudkan oleh entiti Syarikat Sdn. Bhd. dan Bhd.. Seksyen 122(1), Akta Syarikat 1965, menghendaki sebuah syarikat mempunyai sekurang-kurangnya dua(2) orang pengarah yang bermastautin di Malaysia. Kuasa Pengarah  dan Ahli Lembaga Pengarah adalah seperti dalam peruntukan Akta Syarikat, 1965.
Sesiapa yang memegang jawatan sebagai Pengarah Syarikat adalah merupakan mereka yang mempunyai kuasa yang diamanahkan dalam mentaddbir dan menyelenggara syarikat tersebut. Oleh yang demikian, Pengarah juga boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa sahaja ataupun pihak syarikat boleh memecat dan melantik sesiapa sahaja untuk menjadi Pengarah Syarikat pada bila-bila masa.
Artikel 72, Susanan Daftar A, Jadual Ke Empat menyenaraikan perkara-perkara yang menyebabkan jawatan Pengarah Syarikat perlu dikosongkan iaitu jika seseorang itu:
a) Berhenti menjadi Pengarah Syarikat mengikut akta;
b) Menjadi bankrap;
c) Terhalang daripada menjadi Pengarah Syarikat disebabkan oleh mana-mana perintah    dalam Akta Syarikat 1965;
d) Menjadi tidak siuman
e) Meletak jawatan melalui notis bertulis kepada syarikat
f) Tidak menghadiri mesyuarat melebihi enam bulan tanpa kebenaran;
g) Memegang jawatan lain melainkan jawatan Pengarah urusan dalam syarikat, kecuali jika dibenarkan dalam Mesyuarat Agung; atau
h) Gagal untuk mengisytiharkan kepentingannya dengan cara yang dikehendaki oleh Akta Syarikat 1965.

Pengarah Syarikat atas apa-apa alasan boleh meletakkan jawatannya. Peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa pada tarikh Lembaga Pengarah Syarikat menerima surat peletakan jawatan atau pada tarikh yang dinyatakan dalam surat atau mengikut peruntukan Artikel Syarikat. Peletakan jawatan ini akan menyebabkan kekosongan sementara jawatan Pengarah Syarikat.

Perletakan jawatan adalah tidak sah jika ianya menyebabkan terdapat kurang daripada dua(2) orang Pengarah Syarikat yang bermastautin di Malaysia [ Seksyen 122(6), Akta Syarikat 1965] kecuali jika perletakkan jawatan tersebut adalah di sebabkan Pengarah Syarikat tersebut tidak layak memenuhi syer kelayakan [ Seksyen 122(7), Akta Syarikat1965]. Oleh itu, Pengarah Syarikat perlu mencari pengganti Pengarah sekiranya salah seorang daripada mereka berhenti.

Oleh yang demikian, bagi bilangan Pengarah melebihi 2 orang, secara dasarnya tiada halangan sekiranya ada dalam kalangan Pengarah Syarikat tersebut ingin meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat.

Sehubungan dengan ini, Cik boleh mengeluarkan notis bertulis kepada syarikat sehubungan dengan hasrat Cik untuk meletakkan jawatan sekiranya bilangan pengarah ketika ini melebihi  dua(2) orang.

Sekian, terima kasih.

p/s: moga dapat membantu


February 6, 2013

MASALAH MENGENAI ENTITI PERNIAGAAN




From    : "XXX"
To        : mr.radzi@yahoo.com
Sent     : Wednesday, February 6, 2013 10:58 AM
Subject : Masalah mengenai perniagaan


Salam bang,

Saya sekarang ni tengah nak upgrade kan perniagaan pemilikan tunggal ke Sdn Bhd.. tapi dalam mase yg same sy telah menjalankan 3 perniagaan di bawah Ent. di mana pemilik nye adalah abg dan akak saye yg mengunakan lesen perniagaan yg telah sy daftarkan dulu.. Jd kami nak membuat 1 entiti syarikat di mana akan di uruskan oleh pentadbiran syarikat.. Macam mane nak buat Carta Organisasi dan tugas2 yg diperlukan dlm sesebuah Syrkt.. atau blh ke mengunakan perkataan Holdings? sbb menjalankan 3 perniagaan sekali gus..

JAWAPAN

Waalaikumsalam Tuan,

1) Untuk pengetahuan Tuan, perniagaan Pemilikan Tunggal secara undang-undang tidak boleh di upgrade kan kepada Syarikat Sdn. Bhd. Hal ini kerana kedua-dua entiti ditubuhkan di bawah akta yang berbeza iaitu bagi Enterprise, akta yang digunakan adalah Akta Perniagaan 1956 manakala Syarikat Sdn. Bhd. menggunakan Akta Syarikat 1965. Sekiranya Tuan Ingin menubuhkan perniagaan Syarikat Sdn. Bhd., segala aktiviti dari perniagaan Enterprise termasuk aset dan liabiliti perlu dipindahkan ke entiti baru ini dan perniagaan Enterprise itu dikecilkan ataupun diberhentikan.

Bagi penggunaan nama Holdings dalam Syarikat Sdn. Bhd., tiada apa-apa halangan bagi menggunakan nama tersebut dalam sesebuah syarikat. Walau bagaimanapun, bergantung kepada pihak SSM untuk meluluskan nama Syarikat yang dipohon. Bagi penubuhan Syarikat Sdn. Bhd., Tuan perlulah mempunyai sekurang-kurangnya tiga (3) jenis perniagaan yang ingin dijalankan mengikut keutamaan. Contohnya, sebelum ini pihak Tuan menjalankan tiga perniagaan di bawah enterprise iaitu :

i.    Perniagaan A (pertanian)
ii.    Perniagaan B (pembinaan)
iii.    Perniagaan C (pengiklanan)

Untuk penubuhan Syarikat Sdn. Bhd., pihak Tuan boleh mengambil ketiga-tiga jenis perniagaan tersebut sebagai aktiviti utama Syarikat. Bagi memudahkan lagi pengurusan Syarikat, Tuan dinasihatkan agar membuka tiga (3) akaun bank berasingan bagi merujuk kepada 3 aktiviti perniagaan. Ini adalah bertujuan bagi memudahkan pengurusan aktiviti perniagaan tersebut.

2) Bagi carta organisasi syarikat, Tuan boleh buat seperti biasa. Di mana di dalamnya terdapat pengarah, pengarah urusan, pengurus pemasaran, pengurus kewangan, pengurus pentadbiran, kerani dan pekerja.

Harap dapat membantu. Terima kasih.

7 Feb 2013 (Khamis)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...