JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam menukar strategi dan menggunakan kaedah
yang lebih mesra untuk memastikan syarikat perniagaan mematuhi peraturan Cukai
Barang dan Perkhidmatan (GST).
Timbalan Ketua Pengarah (penguatkuasaan dan pematuhan)
Datuk T. Subromaniam berkata, kaedah baharu itu telah digunakan dalam operasi
yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kastam (CBOS) yang menyaksikan
pegawai penguatkuasa mengunjungi premis bagi memberi penjelasan dan mendengar
masalah yang dihadapi oleh pemilik perniagaan melibatkan kes pelanggaran
peraturan.
Jelas beliau, langkah itu perlu dilaksanakan kerana
segelintir pemilik perniagaan gagal untuk mengisytiharkan hasil GST kepada
kerajaan.
Ujarnya lagi, ada juga pemilik yang terlibat
mengisytiharkan jumlah kutipan tetapi tidak membayar jumlah cukai yang
sepatutnya kepada kerajaan.
"Sebelum ini Jabatan Kastam melaksanakan kaedah
pematuhan tetapi menukar kepada langkah pemberitahuan untuk mencapai golongan
sasar.
"Operasi dengan kaedah baharu ini bermula pada
September dan kita telah mengunjungi kira-kira 20,000 perniagaan yang berdaftar
dengan GST serta mengumpul sebanyak RM1 bilion," katanya.