January 2, 2009

SYARIKAT: JENIS-JENIS SAHAM, BON & DEBENTUR



DEFINISI

Seksyen 4 Akta Syarikat definisikan saham sebagai 'saham dalam saham modal sesebuah perbadanan dan termasuk stok kecuali di mana perbezaan di antara stok dan saham dinyatakan atau disiratkan.


CIRI SAHAM

Seksyen 98 Akta Syarikat, 'saham atau lain-lain kepentingan mana-mana ahli di dalam Syarikat hendaklah merupakan harta alih, boleh dipindahkan dengan cara yang diperuntukkan oleh Artikel-artikel Persatuan dan tidak boleh merupakan sifat harta tak alih.

JENIS-JENIS SAHAM


1. Saham Biasa (Ordinary Share)
2. Saham Keutamaan (Preference Shares)
3. Debentur.


1. SAHAM BIASA (ORDINARY SHARES)

Juga dikenali sebagai Saham Ekuiti. Pemegang saham diiktiraf sebagai pemilik perniagaan. Ia merupakan saham yang paling lazim dikeluarkan oleh sesebuah Syarikat. Saham yang diterbitkan tanpa mempunyai tempoh matang dan pemilik boleh menjual sahamnya bila-bila masa.

Hak-hak Pemegang Saham Biasa:
1. Hak-hak mengundi termasuk dalam memilih dan menentukan Ahli Lembaga Pengarah.
2. Hak Preemtif - iaitu mendapat keistimewaan untuk membeli saham tambahan Syarikat terlebih dahulu sebelum dijual oleh kepada orang luar. Ini dapat mengekalkan peratus pemilikannya dalam Syarikat.

Kebaikan Saham Biasa:
1. Bayaran dividen bukannya satu kemestian
2. Tidak mempunyai tempoh matang
3. Meningkat kebolehupayaan kredit Syarikat
4. Meningkat kepercayaan dalam permohonan kemudahan, pinjaman, fasiliti dsb


2. SAHAM KEUTAMAAN (PREFERENCE SHARES)

Saham yang menggabungkan sebahagian ciri-ciri Saham Biasa dan sebahagian ciri-ciri Bon. Seksyen 4 Akta Syarikat definisikan Saham Keutamaan sebagai 'saham dengan apa-apa pun namanya dipanggil, yang tidak memberik hak kepada pemegangnya kepada hak untuk mengundi di Mesyuarat Agung atau kepada apa-apa hak untuk menyertai melebihi amaun yang ditetapkan dalam apa-apa pembahagian sama ada secara dividen atau ke atas penebusan, dalam sesuatu penggulungan atau selainnya'.

Hak-hak Pemegang Saham Keutamaan:
1. Keutaman tuntutan terhadap pembahagian dividen. Pemegang saham keutamaan berhak menerima kadar dividen yang tetap dan tidak bergantung kepada jumlah keuntungan yang diperolehi. Dividen yang diterima adalah tetap dan terjamin.
2. Dividen saham keutamaan akan dibayar dahulu sebelum pembayaran dividen kepada pemegang saham biasa.
3. Di dalam kes penggulungan syarikat, pemegang saham keutamaan mempunyai keutamaan tuntutan ke atas pembahagian aset syarikat. Saham keutamaan akan dilunaskan selepas tuntutan Pemiutang (Creditors) selesai.
4. Pemegang saham keutamaan bukan pemilik Syarikat dan tidak berhak untuk mengundi atau campur tangan dalam pengurusan dan pentadbiran.


3. BON & DEBENTUR

Merupakan satu sekuriti jangka panjang yang diterbitkan oleh sesuatu entiti seperti Syarikat, Firma atau Kerajaan untuk mendapatkan pembiayaan jangka panjang yang besar. Bon menjanjikan bayaran semula prinsipal (modal asal) pada tarikh matang di samping bayaran faedah yang tetap secara berkala untuk sesuatu tempoh tertentu. Seksyen 4 Akta Syarikat definisikan, 'Debentur termasuklah stok debentur, bon, nota & lain-lain sekuriti perbadanan sama ada merupakan cagaran ke atas aset-aset perbadanan atau tidak.

Kos pinjaman terhad kepada bayaran bunga sahaja sahaja dan bayaran faedah bon boleh ditolak cukai pendapatan dan peminjam dapat mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.
Debentur digunakan oleh sesuatu Syarikat untuk mendapatkan modal bagi pembesaran Syarikat. Ianya merupakan satu cara tambahan untuk mendapatkan modal tanpa menggadaikan aset syarikat seperti tanah untuk mendapat pinjaman daripada bank.

SYARIKAT: PANDUAN & HAK PARA PENGARAH


Syarikat tidak boleh mengurus dirinya dan perlu diurus oleh para Pengarah yang dilantik oleh Pemegang Saham Syarikat. Syarikat perlu diurus oleh Pengarah-pengarahnya yang bertanggungjawab dalam segala tindakan pengurusannya kepada Pemegang Saham Syarikat keseluruhannya. Walaupun Pemegang Saham mempunyai kuasa untuk melantik dan menyingkirkan pengarah-pengarah, tetapi tidak mempunyai hak mutlak untuk menjadi pengarah dan masuk campur dalam urusan pengurusan syarikat. 


Pada amnya pemegang-pemegang saham terpisah daripada kuasa pengurusan syarikat. Semuanya diserahkan kepada Pengarah-pengarah untuk mengurus dan mengawalnya. Jika sesuatu keputusan pengurusan itu tidak dipersetujui oleh pemegang-pemegang saham, mereka mempertikaikan dan menyoal keputusan-keputusan Pengarah-pengarah itu dalam mesyuarat agung atau mengantikan saja Pengarah-pengarah yang ada dengan orang lain :


DEFINISI

Seksyen 4 Akta Syarikat mendefinisikan 'Pengarah sebagai Pegawai Eksekutif utama sesebuah Syarikat yang pada masa itu dengan apa-apa pun nama yang dipanggil dan sama ada atau tidak ia seorang Pengarah'. Akta Syarikat juga mengatakan Pengarah termasuklah 'mana-mana orang yang menduduki kedudukan Pengarah perbadanan melalui apa-apa pun nama yang dipanggil dan temasuklah seseorang mengikut mana-mana arahan atau perintah Pengarah-pengarah perbadanan tersebut lazim bertindak dan Pengarah silih ganti atau Pengarah ganti'.

Setiap Syarikat disyaratkan mempunyai sekurangnya 2 orang Pengarah dan tiada had berkanun mengenai bilangan maksima melainkan yang telah ditetapkan oleh Artikel Syarikat. Pada kebiasaanya maksima bilangan Pengarah dalam Artikel Syarikat adalah 50 orang.

Akta Syarikat 1965 menerangkan hanya 2 kelayakan yang diperlukan untuk membolehkan sesorang itu menjadi Pengarah Syarikat :
1. Ia mestilah seorang manusia
2. Ia mestilah cukup umur dan berkeupayaan


KUASA PERLANTIKAN PENGARAH

Kuasa melantik Pengarah merupakan suatu kaedah yang termaktub di dalam M&A Syarikat. Undang-undang tidak menghadkan cara atau larangan ke atas apa yang tertulis di dalam M&A di dalam melantik sesorang Pengarah. Pada kebiasaanya kuasa perlantikan ini diperolehi di dalam mesuarat am Pemegang Saham. Namun begitu satu peruntukkan boleh dibuat bagi membolehkan Lembaga Pengarah atau orang luar melantik Pengarah secara sah.

Terdapat 3 cara perlantikan Pengarah:

  1. Melalui M&A - Setelah diperbadankan dan dimasukkan nama Pengarah ke dalam Artikel atau Memorandum Syarikat.
  2. Melalui perlantikan Lembaga Pengarah - Melalui resolusi yang dibuat oleh Pemegang Saham atau Lembaga Pengarah.
  3. Dengan jemputan dari Lembaga Pengarah.

    JENIS-JENIS PENGARAH
  • Pengarah Urusan - Managing Director
  • Pengarah Bayangan - Shadow Director
  • Pengarah Eksekutif dan Bukan Eksekutif - Executive and Non Executive Director
Pengarah Urusan - Managing Director:
Pengarah Urusan (MD) merupakan Pengarah yang memiliki kuasa yang luas bagi menentukan operasi dan perlaksanaan Syarikat. Artikel Syarikat seperti menurut Jadual A memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk melantik seorang atau lebih dari kalangan mereka sendiri untuk menjadi Pengarah Urusan (MD) pada satu jangka masa tertentu. Pengarah Urusan (MD) boleh juga dilantik melalui Resolusi Mesyuarat Am atau pun seperti yang termaktub dalam Artikel Syarikat.

Pengarah Bayangan - Shadow Director:Menurut Seksyen 4 Akta Syarikat 1965, Shadow Director merupakan orang yang memainkan peranan yang penting di dalam Syarikat. Beliau tidak menjawat jawatan Pengarah dalam Syarikat tetapi 'Pengarah Bayangan merupakan orang yang memberikan segalan arahan dan rancangan yang akan dilakukan oleh Pengarah Syarikat'.

Pengarah Eksekutif and Bukan Bukan Eksekutif - 
Executive and Non Executive Director:
Seseorang pengarah eksekutif biasanya dilantik dari kalangan pengarah-pengarah dan memegang jawatan bergaji dengan syarikat. Sesetengah syarikat melantik kakitangan eksekutifnya daripada kumpulan pengurusan atasan menjadi pengarah, di samping menjawat jawatan pengarah eksekutif. Pengarah bukan eksekutif pula biasanya tidak terlibat dengan urusan harian syarikat, tetapi bertanggungjawab bersama-sama dengan pengarah-pengarah lain dalam merangka dan melaksanakan polisi syarikat. Pengarah bukan eksekutif mempunyai hak dan menanggung liabiliti yang sama seperti pengarah-pengarah lain walaupun tidak memegang jawatan bergaji dan tidak terlibat dalam urusan harian syarikat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...