March 18, 2016

KASTAM JANGKA KUTIP CUKAI SEHINGGA RM52 BILION UNTUK 2016

"Kita juga akan memastikan pematuhan oleh peniaga dan pembayar cukai dipertingkat melalui penguatkuasaan," Datuk Seri Khazali Ahmad - foto BERNAMA

KUALA LUMPUR 16 MAC 2016: Hasil kutipan cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia disasar mencapai sehingga RM52 bilion tahun ini. Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata daripada jumlah tersebut, RM39 bilion merupakan sasaran bagi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) seperti yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Bajet 2016.

Beliau berkata hasil kutipan cukai oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia dijangka menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini susulan trend meningkat yang dicatatkan sejak 2013. Pada 2013, kastam menyumbang kepada 15.5 peratus KDNK. Pada 2014, 16 peratus dan pada 2015 sebanyak 23.3 peratus.

Tambah Khazali, jabatan itu sedang mengambil inisiatif untuk menambah baik sistem kutipan bagi kemudahan pembayar cukai. "Kita juga akan memastikan pematuhan oleh peniaga dan pembayar cukai dipertingkat melalui penguatkuasaan.

"Dalam situasi sekarang, kita harus meningkatkan usaha dan tanggungjawab kita dalam memastikan sasaran kita tercapai. Unjuran ini dibuat berdasarkan perkiraan yang telah kita buat, buka saja-saja meletakkan sasaran itu," katanya. Beliau berkata demikian selepas Persidangan WCO Ketua Pentadbiran Kastam Rantau Asia dan Pasifik (RHCA) ke-17.


SUMBER: http://www.astroawani.com/berita-bisnes/kastam-jangka-kutip-cukai-sehingga-rm52-bilion-untuk-2016-98758


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...