November 27, 2013

MENAMBAH WARGA ASING (BRUNEI) SEBAGAI PEMEGANG SAHAM





From     : "xxx"
To         : mr.radzi@ymail.com
Sent      : Saturday, November 9, 2013 3:44 PM
Subject : MENAMBAH WARGA ASING (BRUNEI) SEBAGAI PEMEGANG SAHAM

Salam, saya menjalankan perniagaan secara kecilan dan telah mendaftar sebuah enterprise untuk beberapa tahun. Bolehkah saya mohon untuk menambah warga asing (Brunei) sebagai pemegang saham? Apakah syarat-syaratnya?

Sekian, terima kasih.
Pn. XXX

JAWAPAN:

Waalaikumsalam, Puan.

Untuk makluman Puan, penambahan pemegang saham tidak berlaku di dalam enterprise. Hanya Syarikat Sendirian Berhad sahaja yang mempunyai pemegang saham. Enterprise hanya mempunyai penyumbang modal. Sekiranya Puan ingin menambah warga asing (Brunei) sebagai pemegang saham, perniagaan Puan perlu bertukar kepada Syarikat Sendirian Berhad.

Untuk pengetahuan Puan, perniagaan Milikan Tunggal (Enterprise ) secara undang-undang tidak boleh ‘di upgradekan’ kepada Syarikat Sdn. Bhd. Hal ini kerana kedua-dua entiti ditubuhkan di bawah akta yang berbeza iaitu bagi Enterprise, akta yang digunakan adalah Akta Perniagaan 1956 manakala Syarikat Sdn. Bhd. menggunakan Akta Syarikat 1965.

Sekiranya Puan ingin menubuhkan perniagaan Syarikat Sdn. Bhd., segala aktiviti dari perniagaan Enterprise termasuk aset dan liabiliti perlu dipindahkan ke entiti baru ini dan perniagaan Enterprise itu dikecilkan ataupun diberhentikan.

Untuk makluman Puan, di dalam Akta Syarikat 1965 tidak menghalang mana-mana warganegara asing untuk memegang saham  mahupun menjadi Pengarah bagi sesebuah Syarikat di dalam Malaysia. Oleh yang demikian, warga Brunei tersebut boleh menjadi pemegang saham di dalam Syarikat Sdn. Bhd. Puan, tetapi bukanlah di dalam perniagaan milikan tunggal (Enterprise).

Syarat-Syarat bagi penubuhan Syarikat adalah seperti berikut:

A.    PENGARAH

1) Seksyen 122(1), Akta Syarikat 1965 - Syarikat Sdn. Bhd. yang baru hendaklah mempunyai dua (2) orang Pengarah dan dua (2) orang Pemegang Saham di mana bermastautin atau beralamat di Malaysia.
2) Seksyen 122(2), Akta Syarikat 1965 - Berumur 18 tahun ke atas dan waras.
3) Seksyen 130, Akta Syarikat 1965
     o Tidak disabitkan muflis;
     o Tidak pernah didakwa di dalam atau di luar Malaysia atas sebarang kesalahan berkenaan dengan
        promosi, penubuhan dan pengurusan sesebuah pertubuhan;
     o Terlibat dalam penipuan atau ketidakjujuran yang dapat dihukum atau disabitkan dengan hukuman
        penjara 3 bulan atau lebih; atau
     o Di bawah Seksyen 132, 132A atau di bawah Seksyen 303, dalam tempoh lima tahun sebelum tarikh
        deklarasi ini
     o Tidak pernah dipenjarakan atas kesalahan yang dirujuk pada perenggan (2) dalam tempoh 5 tahun.

Sekian, dimaklumkan.

p/s : Harap dapat membantu
       Terima kasih. 

RADZI & CO.
Chartered Accountants (M)
28 November 2013

November 26, 2013

KEBENARAN MENJALANKAN PERNIAGAAN




From     :"xxx"
To         :
mr.radzi@ymail.com
Sent      :
Wednesday, October 30, 2013 6:26 PM
Subject : KEBENARAN MENJALANKAN PERNIAGAAN

Syarikat saya telah beroperasi selama 14 hari, tetapi saya belum mendapatkan kebenaran melalui Ketua Jabatan saya berkenaan dengan kegiatan saya di luar waktu kerja? Bolehkah saya mendapatkan kebenaran dari Ketua Jabatan saya setelah kedai saya beroperasi?

Sekian, terima kasih.

Pn. XXX

JAWAPAN:

Waalaikumsalam, Puan.

Untuk makluman Puan, sebagai golongan kakitangan penjawat awam yang ingin menjalankan perniagaan, Puan seharusnya terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan. Hal ini penting bagi mengelakan masalah yang akan timbul pada kemudian hari. Sementara itu, dalam Peraturan 5, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 iaitu mengenai pekerjaan luar juga menyatakan bahawa penjawat awam perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan terlebih dahulu.

Peraturan ini juga membenarkan Penjawat awam memegang jawatan Pengarah dengan syarat:
- Di luar waktu pejabat
- Tidak menjejaskan kebergunaannya sebagai pegawai awam
- Tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam

Disebabkan Puan telah menjalankan perniagaan tersebut sebelum mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan, Puan perlu menerangkan hal sebenar kepada Ketua Jabatan bagi menjelaskan perkara tersebut.

Sekian, dimaklumkan.

p/s : Harap dapat membantu
       Terima kasih. 

RADZI & CO.
Chartered Accountants (M)
27 November 2013
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...