March 5, 2015

Khidmat doktor pakar luar dikenakan GST



KUALA LUMPUR 4 Mac – Perkhid­matan perubatan pakar secara penyumberan luar oleh doktor kepada sesebuah hospital yang bukan majikannya akan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar standard enam peratus.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad bagaimanapun berkata, perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada pengguna akhir dikecualikan daripada sistem percukaian itu.

Jelas beliau, invois yang dikeluarkan kepada pengguna tidak akan tertakluk kepada GST jika dikeluarkan oleh hospital yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Pusat Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

“Invois juga tidak tertakluk kepada GST jika dikeluarkan oleh doktor yang menjalankan penyum­beran luar kepada hospital dan disediakan bilik pemeriksaan oleh pihak hospital.

“Ia juga termasuk doktor yang menjalankan penyumberan luar kepada hospital dan mempunyai klinik yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan Pusat Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di dalam hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Khazali, sebanyak 347,165 buah syarikat telah berdaftar di bawah sistem GST sehingga semalam dan daripada jumlah itu, 1,907 adalah syarikat atau pemilikan tunggal yang menawarkan perkhidmatan perubatan pakar.
Beliau berkata, dengan perkembangan itu, pihaknya optimis GST akan dapat dilaksanakan dengan lancar apabila dikuat kuasa sepenuhnya mulai 1 April ini.


“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meminta pihak yang membekalkan perkhidmatan yang dikecualikan di bawah Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 tidak mengenakan GST kepada pengguna akhir perkhidmatan tersebut.

“Sekiranya terdapat mana-mana pihak melanggar sebarang perundangan GST, tindakan tegas akan diambil,” katanya.


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/khidmat-doktor-pakar-luar-dikenakan-gst-1.66093#sthash.IblRVxWC.dpuf
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...