March 3, 2013

WINDING UP


From    : "xxx"
To        : mr.radzi@yahoo.com
Sent     : Tuesday, February 19, 2013 9:39 AM
Subject : WINDING UP

Apakah yang dimaksudkan dengan Winding Up? Syarikat saya mempunyai modal berbayar RM500,000 dan kini saya mahu tutup syarikat kerana sudah lama tidak beroperasi lagi.
Terima kasih.

Jawapan:

‘Winding up’ adalah merupakan suatu proses dimana sesebuah Syarikat akan dibubarkan atau digulungkan samaada melalui perintah mahkamah atau secara sukarela. Dalam proses ini, semua aset atau harta benda Syarikat akan dijual, dan digunakan untuk menyelesaikan segala hutang- piutang Syarikat. Lebihan daripada pembayaran kos serta perbelanjaan penggulungan tersebut akan diagihkan kepada pemegang-pemegang saham mengikut hak dan kepentingan masing-masing.

Winding up’ terbahagi kepada dua iaitu:

a) Melalui Mahkamah
Penggulungan ini juga dikenali sebagai penggulungan secara secara paksa yang diberikan oleh mahkamah atas petisyen atau tuntutan yang dibuat oleh orang yang berhak menfailkan petisyen penggulungan ini seperti ahli Syarikat (pemegang saham), pihak Pelikuidasi (liquidator), pemiutang, penyumbang, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan industry atau Bank Negara.

b) Secara sukarela
i. Penggulungan sukarela oleh ahli pemegang saham melalui resolusi khas. Berlaku apabila Pengarah Syarikat berpendapat bahawa Syarikat berupaya membayar hutang Syarikat dalam tempoh 12 bulan bermula dari tarikh permulaan penggulungan dengan membuat pengisytiharan solvensi (Seksyen 257 Akta Syarikat 1965).
ii. Penggulungan sukarela oleh pemiutang Syarikat melalui resolusi khas dalam mesyuarat di antara pemegang saham dan pemiutang.

Sekiranya di dapati Syarikat gagal untuk melangsaikan hutang, maka penggulungan akan menjadi  penggulungan sukarela oleh pemiutang. Di dalam mesyuarat pemiutang, likuidasi akan dilantik bagi menguruskan penggulungan Syarikat.

Kebiasaannya penggulungan Syarikat secara sukarela adalah lebih menyenangkan dan tidak melibatkan kos yang tinggi. Setelah penggulungan Syarikat bermula, pengarah Syarikat tidak lagi mempunyai kuasa ke atas Syarikat kerana segala urusan hal ehwal Syarkat akan diambil alih oleh pelikuidasi.

Pembatalan Nama Syarikat – Seksyen 308 Akta Syarikat 1965

Sekiranya Syarikat Tuan tidak mempunyai apa-apa hutang, terdapat satu lagi cara bagi membatalkan nama Syarikat iaitu melalui pembatalan nama Syarikat di SSM atau lebih dikenali juga sebagai ‘Strike Off’. Proses ini dilakukan menggunakan budi bicara dengan pihak Pendaftar (Registrar) untuk memotong atau membatalkan nama sesebuah Syarikat sekiranya Syarikat adalah dorman (tidak menjalankan perniagaan) mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Seksyen 308 (1) dan (3) Akta syarikat 1965.

Proses ini hanya memerlukan:
o    Akaun pengurusan terkini Syarikat
o    Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM)
o    Resolusi pemegang saham
o    Yuran bagi pembatalan nama di SSM

Proses ini agak mudah dan cepat kerana peraturannya yang tidak membebankan dan boleh dilakukan bagi Syarikat yang tidak aktif sahaja.

Harap dapat membantu.

Sekian. Terima kasih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...