June 26, 2013

PENUBUHAN SYARIKAT BAGI PENJAWAT AWAM



From    : "xxx"
To        : radziandco@yahoo.com
Sent     : Friday, Jun, 2013  8:39 AM
Subject: PENUBUHAN SYARIKAT

Assalam,
Saya nak tanya, saya bekerja sebagai penjawat awam. Bolehkah saya memegang jawatan pengarah dalam syarikat saya atau syarikat orang lain?
Sekian. Terima kasih.

Cik XXX

JAWAPAN:

Waalaikumsalam, Cik XXX.
Untuk makluman Cik, dari segi Akta Syarikat 1965 tiada halangan bagi golongan kakitangan penjawat awam untuk memegang jawatan Pengarah dalam Syarikat sendiri atau Syarikat orang lain. Walaubagaimanapun dalam Peraturan 5, Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 iaitu mengenai pekerjaan luar, penjawat awam perlu mendapat kebenaran daripada Ketua Jabatan terlebih dahulu.

Peraturan ini juga membenarkan Penjawat awam memegang jawatan Pengarah dengan syarat:
  • Di luar waktu pejabat
  • Tidak menjejaskan kebergunaannya sebagai pegawai awam
  • Tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan awam
Secara kesimpulannya, Cik dikehendaki mendapatkan kebenaran daripada Ketua Jabatan terlebih dahulu sebelum memegang jawatan Pengarah dalam Syarikat.

Terima kasih.  

RADZI
CA (M)

PENGARAH BANKRUPT DISABITKAN KESALAHAN DIBAWAH SEKSYEN 125(1) AKTA SYARIKAT 1965

ISSUED BY : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
DATED : 21 JUNE 2013
PENGARAH BANKRUP DISABITKAN KESALAHAN DI BAWAH SEKSYEN 125 (1)
AKTA SYARIKAT 1965

Mahkamah Sesyen Seremban pada hari ini telah menyabitkan pengarah bankrap Gunasegaran a/l Arjiman kerana bertindak sebagai pengarah Mandat Segar Sdn. Bhd. tanpa mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi. Beliau mengaku salah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965 (Akta 125).

Hakim Mahkamah Sesyen, Puan Nariman Binti Badruddin telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 8,000.00 dan jikalau gagal bayar, dipenjarakan selama empat (4) bulan terhadap Gunasegaran a/l Arjiman kerana melanggar Seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965. Beliau yang diwakili oleh peguambela Encik Rajvin Charan Suri, dalam mitigasinya telah memohon kepada Mahkamah agar Gunasegaran a/l Arjiman dikenakan hukuman yang minima kerana beliau kini menganggur, beliau perlu menyara keluarganya dan mempunyai anak yang masih belajar di peringkat Universiti.

Kesalahan dibawah Seksyen 125(1) Akta Syarikat membawa hukuman maksima penjara tidak melebihi 5 tahun atau denda RM 100,000.00 atau kedua-duanya. Pendakwaan dijalankan oleh En. Adam Bin Mamat bagi pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan beliau telah menggesa Mahkamah agar menjatuhkan satu hukuman yang berat.

SSM akan meneruskan usahanya untuk memastikan pematuhan Akta Syarikat 1965 melalui penguatkuasaan berkesan serta berusaha untuk mengingatkan pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai syarikat di Malaysia agar mematuhi keperluan Akta Syarikat 1965 dengan tegas.

DIKELUARKAN OLEH : SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)
TARIKH : 21st Jun 2013

Ulasan:

Seksyen 125(1) Akta Syarikat 1965 menjelaskan bahawa salah satu syarat untuk menjadi seorang Pengarah perlulah tidak di isytiharkan bankrap atau muflis oleh pihak Mahkamah. Ini bermakna seseorang yang di isytiharkan bankrap atau muflis tidak boleh mengambil bahagian di dalam bidang pengurusan Syarikat samaada terlibat secara langsung atau tidak langsung. Seharusnya, sebelum pihak Pengurusan mengambil seseorang itu menjadi Ahli Lembaga Pengarah, mereka perlulah mengetahui serba sedikit berkaitan latar belakang Pengarah tersebut bagi memastikan mereka tidak muflis atau bankrap. Selain itu, Setiausaha syarikat perlulah memberitahu kepada Ahli Lembaga Pengarah syarat-syarat untuk menjadi seorang Pengarah syarikat bagi memastikan perlantikan itu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan di dalam Akta Syarikat 1965.

Untuk makluman, kelayakan bagi seseorang itu untuk menjadi Pengarah adalah seperti berikut:
  1. Berumur 18 tahun ke atas ( Seksyen 122(2), Akta Syarikat 1965)
  2. Tidak bankrap ( Seksyen 125, Akta Syarikat 1965)
  3. Tidak didapati bersalah dibawah Seksyen 130, Akta Syarikat 1965. Kesalahan-kesalahan yang terlibat adalah seperti:
    • Kesalahan berhubung dengan dengan penganjuran pembentukan atau pengurusan perbadanan.
    • Kesalahan melibatkan fraud atau tidak jujur dihukum di atas sabit kesalahan dengan penjara untuk tiga bulan atau lebih.
    • Pecah amanah dibawah seksyen 132, Akta Syarikat 1965. (kegagalan untuk menjalankan perniagaan secara ‘reasonable care’, berlaku ‘conflict of interest’ dan penyalahgunaan kuasa dan harta Syarikat)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...