July 14, 2010

SOAL JAWAB : PEMILIHAN ENTITI PERNIAGAAN DAN KESAN CUKAI



Salam.
Saya cuba terangkan.

Quote:
Originally Posted by adar
baru2 ni pendapatan bercukai sy sekitar RM90K. skrg ni sy ada 2 ROB. tuan radzi rasa patut ke sy upgrade ke sdn bhd? sbb sy jangka tahun depan mungkin akan melebihi RM100K.
1. Tahniah, semoga perniagaan saudara semakin berkembang.
2. Dari segi PERCUKAIAN, berdasarkan kenyataan saudara,

Pendapatan Bercukai RM90K, anggaran cukai adalah RM12,000 (berdasarkan kadar cukai bagi tahun taksiran 2009).
Pendapatan Bercukai RM100K, anggaran cukai adalah RM14,300 (berdasarkan kadar cukai bagi tahun taksiran 2010).

Disini,  kita boleh melihat akan kelebihan Perniagaan Milikan Tunggal (Enterprise) iaitu cukai yang dikenakan agak rendah berbanding dengan cukai bagi Syarikat Sdn. Bhd. Kelebihan adalah memihak kepada Perniagaan Milikan Tunggal (Enterprise). Bagi perniagaan berbentuk Syarikat Sdn. Bhd., cukai yang dikenakan adalah dalam lingkungan RM20,000 (Tahun Taksiran 2010). Oleh yang demikian, terdapat penjimatan pembayaran cukai paling minimum (sekurang-kurangnya) sebanyak dalam lingkungan RM5,600 (Bagi Pendapatan Bercukai RM100,000).

Namun begitu, sekiranya Pendapatan Bercukai melebihi RM250,000, adalah bagus untuk memilih entiti perniagaan Syarikat Sdn. Bhd. Cukai dikenakan kepada Perniagaan Milikan Tunggal adalah sebanyak RM54,825 sedangkan bagi Syarikat Sdn. Bhd. adalah RM50,000. Penjimatan sekurang-kurangnya RM4,800.

Di sini kita lihat, semakin besar Pendapatan Bercukai Perniagaan Milikan Tunggal (Enterprise), semakin kecil dalam penjimatan cukai berbanding dengan cukai bagi perniagaan Syarikat Sdn. Bhd.

Berdasarkan kepada Jadual Cukai bagi Tahun Taksiran 2010, titik pertengahan bagi kedua-dua jenis perniagaan ini adalah RM250,000 bagi Pendapatan Bercukai. Sekiranya melebihi dari amaun tersebut di atas, maka penjimatan cukai akan memihak kepada Perniagaan Syarikat Sdn. Bhd.

Bahasa mudah, sekiranya Pendapatan Bercukai melebihi RM250,000,  maka entiti perniagaan berbentuk Syarikat Sdn. Bhd. akan lebih menguntungkan (dari segi cukai yang dikenakan).

Quote:
lg satu, skrg ni sy cuba gunakan akaun personal utk sbrg urusan pembayaran oleh client. adakah LHDN akan tahu? sebab sy tak masukkan ke dlm akaun semasa syarikat. ni utk mengelak bayar cukai yg banyak thn depan.
Quote:
tuan ada nasihat yg bagus utk sy tak utk kurangkan cukai?
1. Cara begini selalu dan sering digunakan bagi tujuan mengelakkan cukai. Minta maaf, pihak LHDN pun telah mengetahui akan perkara demikian. Oleh yang demikian, risiko tetap ada. Pihak LHDN terutamanya Bahagian Penyiasatan Cukai akan meminta sesiapa sahaja mengistiharkan segala harta mereka. Ini dinamakan "Capital Statement". Pihak LHDN mempunyai bidang kuasa untuk memeriksa mana-mana akaun bank termasuk akaun personal.

Antara kelemahan yang kita tak sedari adalah menyediakan Penyata Kewangan yang kurang munasabah (not realistic) atau kurang kewajarannya. Antaranya yang selalu berlaku, Pendapatan Perniagaan yang kecil tetapi Kos Langsung adalah besar (dengan maksud lain, Untung Kasar Perniagaan adalah terlalu kecil) dan sering melaporkan kerugian. Namun sebaliknya perniagaan tersebut boleh berbelanja mewah (seperti pembelian kereta mewah) dan mampu bertahan bertahun-tahun lamanya.

2. Nasihat saya, gunakan cara dan kaedah yang terbaik dan yang dibenarkan oleh Akta Cukai bagi mengurangkan atau merancang cukai. Cara paling mudah, setiap kali ada Belanjawan Negara, pasti ada perkara-perkara yang menarik tentang Cukai. Begitu juga dengan pelepasan-pelepasan yang telah  diberikan oleh kerajaan. Gunakan dengan semaksimum yang boleh seperti Insuran Nyawa dan EPF, Pemotongan 2 kali, pengajian mereka yang OKU dsb. Insyallah boleh.

Quote:
kemudian, skrg ni sy ada 2 ROB utk dua bisnes yg berbeza. jika sy upgrade ke sdn bhd, perlu ke sy daftar 2 sdn bhd atau cukup 1 sdn bhd?
1. 1 (satu) Syarikat Sdn. Bhd. sudah memadai. Nature of Business ... walaupun terdapat pelbagai ... kita boleh letakkan didalam Memorandum & Artikel (M&A) bagi 3 jenis aktiviti yg utama. Sebagai contoh ... Aktiviti 1 : Pertanian ... Aktiviti 2 : Hartanah ... Aktiviti 3 : Trading.

Pada kebiasannya ... pihak Setiausaha Syarikat akan memberikan panduan yg sewajarnya terhadap pemilihan aktiviti2 perniagaan.

SUDUT LAIN
1. Dividen ... hanya boleh dilakukan kepada entiti perniagaan Syarikat Sdn. Bhd. ... selain dari entiti ini .... tak boleh istihar dan bayar dividen. (Ada saya terangkan sebelum ini)... Ini adalah kekuatan utama bagi Syarikat Sdn. Bhd. ... ramai yg tak menyedari akan konsep Dividen ini.

2. Liabiliti Terhad ... Secara amnya Syarikat Sdn. BHd. mempunyai Liabiliti Terhad ... iaitu Para Pemegang Saham dan Para Pengarah terlindung dari ancaman dan risiko penangunggan laibiliti ... Bahasa lain ... pihak ke 3 terutaman pihak Pemiutang (Creditors) hanya boleh menyaman Syarikat sahaja sekiranya Syarikat tidak mampu membayar hutang tersebut.

3. Pinjaman dan Fasiliti2 lain ... lebih diutamakan kepada perniagaan bersifat Syarikat Sdn. Bhd.

4. Kos Pematuhan Syarikat ... Merupakan faktor utama mengapa ramai yg memilih menubuhkan entiti perniagaan bersifat Milikan Tunggal (Enterprise) dan juga Perkongsian ... sebabnya kos adalah murah dan todak membebankan.

Perbezaan kos yg ketara adalah ... Kos Penubuhan (paling kurang RM2,000) ... Kos Setiausaha (paling kurang RM50 sebulan) ... Kos Audit (paling kurang RM500 setahun) dsb.

Namum begitu ... setiap entiiti mempunyai kekuatan dan kelemahan yg tersendiri.

p/s : harap ini membantu.

July 5, 2010

SOAL JAWAB : AKTIF ATAU TIDAK DAN TINDAKAN YANG PERLU DIBUAT



Wassalam.
Saya cuba menerangkan.

Quote:
Assalamualaikum Saudara Mohd Radzi, saya ingin meminta sedikit nasihat. Begini ceritanya.

Pada tahun 1998, saya set up company Sdn Bhd bersama pak saudara serta ahli keluarga sebagai pengarah. Sekarang, company tersebut adalah milik saya dan 3 org pengarah lain yang terdiri daripada adik-beradik (selepas pak saudara melepaskan pegangan dalam syarikat). Dari awal penubuhan, company tidak aktif kerana kami sibuk dengan komitmen masing-masing dan tidak pernah melakukan audit tahunan hampir 12 tahun lamanya.

Bagaimana untuk saya tarik diri dari company ini atau menutup syarikat ini?

Tujuannya ialah saya ingin berkecimpung sepenuh masa dalam perniagaan dan ingin membuka syarikat Sdn. Bhd baru bersama isteri.

Harap mendapat sedikit nasihat. Terima kasih.

Berapakah anggaran perbelanjaan yang diperlukan untuk menutup Syarikat Sdn Bhd saya sekarang sebelum saya boleh menubuhkan Syarikat Sdn Bhd baru?
Pilihan 1

Kalau tak aktif (Dormant), kita boleh tutup sahaja atau dipanggil "Strike-off". Kosnya dalam Anggaran RM800 ke RM1,000. Kos yang lain adalah Kos Setiausaha Syarikat. Saya cuba anggarkan dengan andaian tidak pernah membayar langsung ke Setiausaha Syarikat : RM50 x 12 bulan x 12 tahun = RM7,200. Maka keseluruhannya RM8,200.

Pandangan saya, cuba minta kurang sebanyak mungkin atas Yuran Setiausaha. Kalau boleh, cuba dapatkan 70% ke 80% pengurangan. Paling tidak, mesti dapat pengurangan yang munasabah.

Kalau aktif, anda perlu melantik Liquidator (Penyelesai Syarikat). Kos mereka adalah dalam RM4,500 ke RM5,000 (minimum). Ini dinamakan Voluntary Winding-up (Penutupan Secara Sukarela).

Pilihan 2

Kalau memilih untuk meneruskan Syarikat yang sedia ada, kosnya terlalu besar dan akan dibebankan dengan penalti oleh SSM. Anggaran kos:
a. Yuran Setiausaha = RM7,200 (seperti di atas)
b. Yuran audit = RM500 x 12 tahun = RM6,000
c. Kos Annual Return = RM300 x 12 tahun = RM3,600
d. Penalti Tahunan untuk Annual Return = RM200 x 11 tahun = RM2,200
Total Kos = RM19,000

Ini tak termasuk penalti atau kompaun dari SSM sekiranya mereka dapat mengesan Syarikat tersebut tak pernah membuat Annual Return. Kadar penalti atau kompaun sekiranya mereka dapat mengesan:
a. 4 orang x RM3,500 x 11 tahun = RM154,000 (Kesalahan atas ke semua Para Pengarah)
b. RM1,500 x 11 tahun = RM16,500 (Kompaun atas Syarikat itu sendiri)

Kompaun ini sedang dikeluarkan oleh SSM ketika ini. Ianya akan berterusan. Bagi mereka yang menjadi Para Pengarah dalam Syarikat Sdn. Bhd. dan Syarikat tidak pernah membuat Audit Tahunan dan Annual Return, maka bersiap sedia. Kadar minimum adalah: 1 orang Pengarah bagi 1 tahun adalah RM3,500 dan Syarikat adalah RM1,500.

Namun begitu, pihak Pengarah dan pihak Syarikat boleh meminta pengurangan (diskaun) atas penalti atau kompaun yang dikenakan. Pada kadar kebiasaanya, pihak SSM akan memberi pengurangan sebanyak 30% ke 70% mengikut budi bicara mereka.

Pandangan saya bagi soalan ini, tutup sahaja Syarikat tersebut dan tubuhkan Syarikat yang baru. Sekiranya belum ada kompaun yang telah dikeluarkan oleh SSM, cepat-cepat tutup. Pihak Setiuasaha anda boleh menguruskan. Berundinglah dengan mereka.

p/s: harap ini membantu

July 4, 2010

SOAL JAWAB: PENGGABUNGAN AKTIVITI PERNIAGAAN


Salam.

Quote:
a. Untuk Syarikat Enterprise, perlukah disediakan akaun oleh akauntan bertauliah, atau sesiapa sahaja, especially untuk kiraan cukai?
b. Andai akaun dibolehkan buat sendiri oleh pemilik yang hanya tahu basic keluar masuk wang sahaja, adakah ianya diiktiraf oleh LHDN untuk kiraan cukai?
a. Bagi Perniagaan Enterprise (milikan tunggal), penyediaan akaun boleh dilakukan oleh Tuan Punya perniagaan. Pada kebiasaanya, Laporan Kewangan tersebut akan menyatakan bahawa Pemilik bertanggungjawab dan perkara-perkara yang dinyatakan adalah benar dan ditandatangani oleh mereka.

b. Diiktiraf oleh LHDN. Basic keluar masuk wang adalah sebahagian daripada catatan akaun atau lebih mudah, ianya dipanggil Buku Bank atau Tunai (Cash Book). Namun, ianya adalah sebahagian daripada akaun. Bagaimana pula dengan perkara-perkara Pengiraan Cukai Dibayar, Elaun Modal dan juga Kerugian Dibawa ke hadapan, semuanya perlu pengiraan tersendiri. Di sini, Pemilik Perniagaan perlu melengkapkan BORANG B sebaik mungkin termasuk dengan isu-isu di atas tadi.

Untuk makluman, polisi percukaian kita telah memasuki era Sistem Taksiran Sendiri. Antara ciri-cirinya, bagi pemilik Perniagaan Tunggal tidak perlu lagi menyerahkan Penyata Kewangan perniagaan ke LHDN. Sebaliknya, pihak LHDN akan membuat audit ke atas perniagaan tersebut. Pada kebiasaanya, 4 tahun sekali. Ini adalah berdasarkan budi bicara dan kaedah mereka tersendiri. Sekiranya mereka mendapati pelaporan kewangan di dalam BORANG B meragukan, mereka berhak untuk membuat Audit Cukai ke atas perniagaan tersebut.

Oleh yang demikian, pelaporan kewangan dan pengiraan cukai perlu dilakukan sebaik mungkin bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

Quote:
Andai pemilik ada beberapa Syarikat Sdn. Bhd & Enterprise, seterusnya bercadang digabungkan di atas satu syarikat induk (holding), soalannya,
a) kiraan cukai berdasarkan setiap syarikat atau akaun disatukan (syarikat induk) untuk pengiraan?
b) perlukah syarikat induk (holding) diambil dari salah satu syarikat atau lebih baik create satu syarikat holding baru ?
Harap ada yang membantu.
Soalan tak berapa difahami. Apa yang dikatakan 'digabungkan'?
Saya cuba membuat penerangan berdasarkan andaian dan pemahaman saya ke atas soalan di atas.

Setiap perniagaan samada Perniagaan Enterprise mahu pun Syarikat Sdn. Bhd. perlulah ditaksirkan secara berasingan. Ini bermaksud, bagi perniagaan Enterprise (Milikan Tunggal), keuntungan perniagaan akan jatuh kepada pemilik perniagaan. Maka, cukai ditaksirkan ke atas pemilik perniagaan dan pemilik akan bertanggungjawab ke atasnya. CUKAI INDIVIDU

Manakala bagi Syarikat, keuntungan Syarikat akan ditaksirkan akan cukai ke atas Syarikat. Syarikat akan menanggung cukai tersebut dan bukan Pemegang Saham. CUKAI SYARIKAT

Berdasarkan soalan a), pengiraan disatukan, sebenarnya ini adalah salah satu cara bagi mereka (Cukai Individu) mengurangkan cukai individu mereka. Namun perlu ada cara yang bersesuaian, bukannya mudah.

Sekiranya pendapatan keuntungan diperoleh melalui Perniagaan Enterprise dan pada masa yang sama individu tersebut mendapat gaji atau imbuhan dari Perniagaan Syarikat Sdn. Bhd., maka segala pendapatan tersebut akan ditaksirakan bersama bagi pengiraan Cukai Individu.

Bagi perniagaan Syarikat Sdn. Bhd. akan ditaksirkan ke atas Syarikat. Syarikat akan menanggungnya.

Soalan b), saya rasa lebih merujuk kepada penggabungan aktiviti ke dalam satu entiti sahaja atau diletakkan kesemuanya di satu tempat termasuk Sales, Purchase dan lain-lain kos.

Pandangan saya, sekiranya anda mempunyai perniagaan Syarikat Sdn. Bhd., maka sewajarnya anda meletakkan kesemua aktiviti tersebut di bawah satu bumbung iaitu Syarikat Sdn. Bhd. Tak perlu untuk mewujudkan Syarikat Holding baru sekiranya perniagaan yang ada bersesuaian.

Syarikat Sdn. Bhd. mempunyai lebih banyak manfaat berbanding Perniagaan Enterprise (Milikan Tunggal). Antara manfaatnya:

  1. Kadar Cukai berbeza. Kalau perniagaan maju, Enterprise mempunyai kadar cukai tinggi berbanding Syarikat Sdn. Bhd. (apabila melepasi tahap)
  2. Dividen. Perniagaan Enterprise tidak boleh membayar Dividen berbanding Syarikat Sdn. Bhd. Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, sebarang cukai Syarikat Sdn. Bhd. yang Syarikat bayar ke LHDN, akan digunakan untuk "set-off" dengan Dividen. Oleh yang demikian, Syarikat tidak perlu lagi membayar Cukai Atas Dividen. Ini adalah salah satu Aset bagi Syarikat Sdn. Bhd.
  3. Pinjaman. Lebih mudah dari Perniagaan Enterprise.
  4. Liabiliti Terhad dan banyak lagi

ps/: harap ini membantu
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...