February 13, 2013

PERLETAKAN JAWATAN SEBAGAI PENGARAH


From: xxx@gmail.com
To:
mr.radzi@yahoo.com
Sent: Wednesday, February 6, 2013 3:04 PM
Subject: Perletakan Jawatan Sebagai Pengarah


SOALAN 

Salam Encik Radzi,

Saya telah meletakkan nama saya sebagai pengarah syarikat Sdn Bhd. didalam pertubuhan syarikat.
Kini saya merasakan terdapat risiko yang tinggi jika saya terus berada di dalam syarikat tersebut sebagai jawatan pengarah.
Saya mohon tanya, apakah cara yang boleh saya gunakan untuk berhenti dalam syarikat tersebut?
Kerana terdapat pelbagai alasan yang digunakan oleh pihak syarikat baru dan majikan saya untuk saya terus menggunakan nama saya.

Mohon tanya juga bagaimana cara lain untuk meletakkan jawatan secara rasmi sebagai pengarah syarikat.


Terima kasih
xxx


JAWAPAN

Salam,

Jawatan Pengarah Syarikat merupakan salah satu jawatan yang diwujudkan oleh entiti Syarikat Sdn. Bhd. dan Bhd.. Seksyen 122(1), Akta Syarikat 1965, menghendaki sebuah syarikat mempunyai sekurang-kurangnya dua(2) orang pengarah yang bermastautin di Malaysia. Kuasa Pengarah  dan Ahli Lembaga Pengarah adalah seperti dalam peruntukan Akta Syarikat, 1965.
Sesiapa yang memegang jawatan sebagai Pengarah Syarikat adalah merupakan mereka yang mempunyai kuasa yang diamanahkan dalam mentaddbir dan menyelenggara syarikat tersebut. Oleh yang demikian, Pengarah juga boleh meletakkan jawatan pada bila-bila masa sahaja ataupun pihak syarikat boleh memecat dan melantik sesiapa sahaja untuk menjadi Pengarah Syarikat pada bila-bila masa.
Artikel 72, Susanan Daftar A, Jadual Ke Empat menyenaraikan perkara-perkara yang menyebabkan jawatan Pengarah Syarikat perlu dikosongkan iaitu jika seseorang itu:
a) Berhenti menjadi Pengarah Syarikat mengikut akta;
b) Menjadi bankrap;
c) Terhalang daripada menjadi Pengarah Syarikat disebabkan oleh mana-mana perintah    dalam Akta Syarikat 1965;
d) Menjadi tidak siuman
e) Meletak jawatan melalui notis bertulis kepada syarikat
f) Tidak menghadiri mesyuarat melebihi enam bulan tanpa kebenaran;
g) Memegang jawatan lain melainkan jawatan Pengarah urusan dalam syarikat, kecuali jika dibenarkan dalam Mesyuarat Agung; atau
h) Gagal untuk mengisytiharkan kepentingannya dengan cara yang dikehendaki oleh Akta Syarikat 1965.

Pengarah Syarikat atas apa-apa alasan boleh meletakkan jawatannya. Peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa pada tarikh Lembaga Pengarah Syarikat menerima surat peletakan jawatan atau pada tarikh yang dinyatakan dalam surat atau mengikut peruntukan Artikel Syarikat. Peletakan jawatan ini akan menyebabkan kekosongan sementara jawatan Pengarah Syarikat.

Perletakan jawatan adalah tidak sah jika ianya menyebabkan terdapat kurang daripada dua(2) orang Pengarah Syarikat yang bermastautin di Malaysia [ Seksyen 122(6), Akta Syarikat 1965] kecuali jika perletakkan jawatan tersebut adalah di sebabkan Pengarah Syarikat tersebut tidak layak memenuhi syer kelayakan [ Seksyen 122(7), Akta Syarikat1965]. Oleh itu, Pengarah Syarikat perlu mencari pengganti Pengarah sekiranya salah seorang daripada mereka berhenti.

Oleh yang demikian, bagi bilangan Pengarah melebihi 2 orang, secara dasarnya tiada halangan sekiranya ada dalam kalangan Pengarah Syarikat tersebut ingin meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat.

Sehubungan dengan ini, Cik boleh mengeluarkan notis bertulis kepada syarikat sehubungan dengan hasrat Cik untuk meletakkan jawatan sekiranya bilangan pengarah ketika ini melebihi  dua(2) orang.

Sekian, terima kasih.

p/s: moga dapat membantu


1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum,

bagaimana proses perletakan jawatan sebagai pengarah yang hanya mempunyai dua (2) pengarah sahaja?

mohon bantu..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...