May 24, 2017

62,000 syarikat terima notis peringatan GST

DATUK Subromaniam Tholasy (kanan) menyerahkan anugerah penghargaan kepada pegawai kastam pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kastam 2016 di Wisma Kastam, Kota Kinabalu. Hadir sama Pengarah Kastam negeri Sabah, Datuk Dr. Janathan Kandok (tengah). - Foto Mohd Adam Arinin.


KOTA KINABALU: Sebanyak 62,000 syarikat di seluruh negara menerima notis peringatan mesra daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) supaya mengemas kini pembayaran cukai barang dan perkhidmatan (GST). Jumlah itu adalah sebahagian daripada 441,000 syarikat berdaftar bagi pembayaran GST di seluruh negara. Ketua Pengarah JKDM, Datuk Subromaniam Tholasy, berkata pihaknya sudah menyerahkan 21,000 notis peringatan mesra kepada syarikat terbabit bagi fasa pertama minggu lalu dan 41,000 notis untuk fasa kedua, semalam. Katanya, semua pemilik syarikat boleh melihat notis peringatan itu melalui sistem "Taxpayer Acess Point" (TAP) masing-masing. 

"Notis ini diberikan kepada syarikat yang disyaki membuat pembayaran cukai GST kurang daripada jumlah sepatutnya. "JKDM mahu menumpukan pendekatan pendidikan penguatkuasaan kepada pembayar cukai. Oleh itu, kita beri notis peringatan mesra sebelum mengambil tindakan undang-undang yang sepatutnya," katanya selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Mesra serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JKDM Sabah 2016, di sini, hari ini. Di Sabah, sebanyak 3,378 syarikat menerima notis berkenaan di seluruh negeri. 

Subromaniam berkata, notis peringatan mesra terbabit dihantar kepada syarikat berdaftar di bawah GST hasil semakan maklumat pendaftaran, Penyata GST-03 dan maklumat lain yang didapati tidak sepadan atau ada kesilapan, yang mungkin disengajakan atau sebaliknya. "Saya minta semua syarikat berkenaan membuat semakan semula atau pindaan kepada Penyata GST-03 bermula dari tarikh pengeluaran notis," katanya. 

Terdahulu, seramai 75 anggota JKDM pelbagai pangkat di Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sepanjang tahun lalu, selain 31 bekas kakitangan menerima penghargaan atas persaraan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...