February 15, 2017

KUALA TERENGGANU, 13 Februari – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada hari ini mendakwa dua orang pengarah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana gagal mengisytiharkan cukai pendapatan. Azaiz bin Abdullah (55 tahun), seorang kontraktor dan juga merupakan Pengarah Syarikat Jati Kenali Trading Sdn. Bhd. menghadapi lapan pertuduhan di bawah seksyen 77(1)(a) dan seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal mengisytiharkan pendapatan dirinya dan mengemukakan Borang B bagi Tahun Taksiran 2006, 2007, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012 dan 2013 dalam tempoh masa yang ditetapkan. Manakala Sabarina Binti Dato’ Sulaiman (48 tahun), seorang Pengarah yang bertanggungjawab menurut seksyen 75 Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Syarikat Regensi Motor (TRG) Sdn. Bhd. pula menghadapi tiga pertuduhan di bawah seksyen 77A(1) dan seksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 kerana gagal mengisytiharkan pendapatan syarikat dan mengemukakan Borang C bagi Tahun Taksiran 2011, 2013 dan 2014 dalam tempoh yang ditetapkan. Bagi setiap pertuduhan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari RM200.00 dan tidak melebihi RM2,000.00 atau penjara tidak melebihi tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Walau bagaimanapun, kedua-dua tertuduh tidak hadir pada perbicaraan yang berlangsung hari ini di hadapan Puan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat. Justeru LHDNM melalui Pegawai Hasilnya, Norhidayah Yasin telah membuat permohonan agar waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh. Permohonan LHDNM telah dibenarkan dan Majistret menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk waran tangkap pada 13 Mac 2017


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...