KUALA LUMPUR 4 Mac – Perkhidmatan
perubatan pakar secara penyumberan luar oleh doktor kepada sesebuah hospital
yang bukan majikannya akan dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada
kadar standard enam peratus.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad
bagaimanapun berkata, perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada pengguna
akhir dikecualikan daripada sistem percukaian itu.
Jelas beliau, invois yang dikeluarkan kepada pengguna tidak
akan tertakluk kepada GST jika dikeluarkan oleh hospital yang berdaftar di
bawah Akta Kemudahan dan Pusat Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
“Invois juga tidak tertakluk kepada GST jika dikeluarkan
oleh doktor yang menjalankan penyumberan luar kepada hospital dan disediakan
bilik pemeriksaan oleh pihak hospital.
“Ia juga termasuk doktor yang menjalankan penyumberan luar
kepada hospital dan mempunyai klinik yang berdaftar di bawah Akta Kemudahan dan
Pusat Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) di dalam hospital,” katanya dalam
satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Khazali, sebanyak 347,165 buah syarikat telah
berdaftar di bawah sistem GST sehingga semalam dan daripada jumlah itu, 1,907
adalah syarikat atau pemilikan tunggal yang menawarkan perkhidmatan perubatan
pakar.
Beliau berkata, dengan perkembangan itu, pihaknya optimis
GST akan dapat dilaksanakan dengan lancar apabila dikuat kuasa sepenuhnya mulai
1 April ini.
“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) meminta pihak yang
membekalkan perkhidmatan yang dikecualikan di bawah Perintah Cukai Barang dan
Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 tidak mengenakan GST kepada
pengguna akhir perkhidmatan tersebut.
“Sekiranya terdapat mana-mana pihak melanggar sebarang
perundangan GST, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
- See more at:
http://www.utusan.com.my/berita/nasional/khidmat-doktor-pakar-luar-dikenakan-gst-1.66093#sthash.IblRVxWC.dpuf