KUANTAN, 3 Feb (Bernama) -- Kumpulan Habib, syarikat barang
kemas terkenal tempatan, akan terus menawarkan jualan semua produknya pada
harga yang berpatutan meskipun dengan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan
(CBP) mulai April ini.
Pengarah Urusannya Datuk
Meer Sadik Habib berkata pelaksanaan CBP tidak memberi impak yang tinggi kepada
harga produknya memandangkan ketika ini syarikat memiliki stok bahan yang
mencukupi untuk produknya.
"Banyak orang
memperkatakan pelaksanaan CBP boleh meningkatkan harga sesuatu barang, namun
penurunan kadar tukaran Ringgit Malaysia kepada dolar Amerika juga menyumbang
kepada peningkatan tersebut.
"Bagaimana pun
dengan stok yang mencukupi seperti emas, berlian dan batu permata berharga yang
lain ketika ini, kami mampu mengekalkan harga seperti sekarang walaupun dolar
Amerika meningkat sebanyak 20 peratus sejak kebelakangan ini," katanya.
Beliau berkata demikian
kepada pemberita selepas melancarkan serentak outlet Habib Jewels, Pandora dan
Ice Watch di pusat beli belah East Coast Mall di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah
Urusan Pandora Malaysia, Datin Zarida Noordin dan Pengarah Cawangan Habib
Kuantan, Yusof Chan.
Meer Sadik dalam pada
itu berkata Kumpulan Habib mencatat nilai perolehan sebanyak RM500 juta pada
tahun lepas dengan 20 peratus disumbangkan daripada pasaran Pantai Timur.
Pada majlis itu juga
Meer Sadik turut melancarkan koleksi terbaharu Habib, dikenali sebagai 'Bloom'
iaitu koleksi cincin berlapis yang dijual pada harga RM150 hingga RM200
sebentuk.
"Kita dapati minat
terbaharu rakyat Malaysia kini sukakan konsep suai padan. Menerusi koleksi ini
kami memperkenalkan kira-kira 1,000 jenis reka bentuk yang bersesuaian dengan
pelbagai perayaan di negara ini," katanya.
Meer Sadik juga turut
melancarkan koleksi terbaharu 'charm' Pandora sempena perayaan Hari Valentine
dan Tahun Baru Cina pada harga RM211 sebentuk.
-- BERNAMA