November 1, 2010

ARTIKEL : ELAK CUKAI


LHDN bongkar 600 kes elak cukai


Tan Sri Hasmah Abdullah


KUALA LUMPUR 31 Okt. – Bak kata pepatah, Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya akan jatuh ke tanah juga.

Biarpun pelbagai cara dilakukan oleh pembayar cukai untuk mengelak cukai, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terus berjaya menumpaskan usaha mereka.

Saban tahun, LHDN membongkar 600 kes pelarian cukai, sekali gus menyelamatkan kerajaan daripada kehilangan cukai lebih separuh bilion ringgit.

Menurut Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Hasmah Abdullah, kes-kes berkenaan membabitkan sektor-sektor tidak rasmi tetapi mampu memberi hasil besar kepada LHDN.

‘‘Kita tidak mengejar peniaga ‘ikan bilis’ tetapi peniaga-peniaga besar.

‘‘Licik manapun peniaga yang cuba ‘lari’ membayar cukai, lambat-laun mereka tidak mampu lari,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di sini.

Hasmah menjelaskan kejayaan pihaknya menjejaki golongan berkenaan adalah hasil kepakaran kakitangan LHDN dalam menangani masalah itu, selain kelebihan dalam Sistem Tafsir Sendiri (STS) yang diperkenalkan oleh Lembaga itu.

Katanya, melalui STS, pihaknya mampu mengenal pasti pendapatan yang mungkin tidak dilaporkan dengan betul oleh pembayar cukai.

‘‘Di bawah sistem ini, LHDN boleh memadankan harta yang dimiliki dengan pendapatan yang dilaporkan pembayar cukai.

‘‘Malah, kami mampu menyiasat dan mentaksir semula setiap perincian pendapatan dan harta pembayar cukai melalui rekod-rekod terdahulu dalam tahun-tahun sebelumnya.

‘‘Dalam erti kata lain, golongan ini tidak akan terlepas menjalankan tanggungjawab mereka untuk membayar cukai,’’ ujar Hasmah.

‘‘Seandainya kami gagal mendapat kerjasama daripada pembayar cukai, LHDN boleh mengenakan penalti sehingga 100 peratus atau membawa kes untuk pendakwaan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, LHDN kini memperhebatkan usaha untuk mengesan pembayar cukai baru, tunggakan cukai dan melakukan audit ke atas majikan dan kakitangan.

Kata Hasmah, langkah itu seiring dengan sasaran LHDN untuk menyaksikan peningkatan sebanyak lima peratus pembayar cukai baru atau kira-kira 300,000 orang setiap tahun.

Setakat ini, kata beliau, sejumlah empat juta penduduk Malaysia adalah pembayar cukai aktif.


Utusan Online

1 Nov. 2010

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...