January 3, 2009

SENARIO: FUNGSI CEO, LEMBAGA PENGARAH & PEMEGANG SAHAM


Quote:
Originally Posted by encikz
tuan tanah, soklan sy brkenaan hierarki kepimpinan sebuah syarikat sdn bhd, qualification dan peranannya tu masih belum terjawab... sy nk tau ape peranan CEO, lembaga pengarah etc...adakah CEO sentiasa perlukan kelulusan BOD utk buat projek etc...boleh salah seorang ahli BOD jd CEO...etc...
Salam. Maafkan saya sebab lambat balas. Talian internet sekejap ada, sekejap tiada.


HIERARKI KEPIMPINAN

Pemilik Syarikat Sdn. Bhd. adalah Pemegang Saham (Shareholders). Mereka adalah empunya syarikat. Di dalam Akta Syarikat telah menetapkan bahawa, tidak kurang RM2 saham dan 2 orang Pengarah di dalam sesebuah Syarikat Sdn. Bhd. Jadi, setiap Syarikat Sdn. Bhd. perlu mempunyai minimum :

  1. RM2 modal
  2. Dua orang Pemegang Saham & dua orang Pengarah. Pemegang Saham boleh menjadi orang yang sama menjadi Pengarah (tidak semestinya).

KELAYAKKAN

Pemegang Saham - sesiapa pun boleh jadi asalkan ada duit atau aset yang boleh jadi modal.

Pengarah - boleh jadi Pengarah sekiranya tidak terlibat :

  1. Umur kurang dari 18 tahun.
  2. Seorang yang bankrap.
  3. Sesorang yang terbabit dengan kesalahan Akta Syarikat:- Kesalahan penubuhan, pengurusan sesebuah Syarikat.- Penipuan, ketidakjujuran berkaitan dengan tugas Pengarah dsb.

PERANAN

Pemegang Saham
  • Memastikan Pengarah yang mereka lantik menjalankan tugas mereka dengan baik. Maksudnya, bila Syarikat itu untung dan Pemegang Saham dapat dividen tiap-tiap tahun, bagus.
Lembaga Pengarah (Board of Director - BOD)
  • Mereka dilantik oleh Pemegang Saham pada Mesyuarat Agung pada kebiasaanya atau bila2 masa.

PENGARAH, PENGARAH URUSAN & PENGARAH EKSEKUTIF


Board of Directors (BOD) akan memilih antara mereka dalam menjalankan urusan-urusan Syarikat. Antaranya :

  1. Pengarah Urusan (Managing Director) - Mempunyai kuasa yang luas bagi menetukan operasi dan perlaksanaan Syarikat.
  2. Pengarah Ekesekutif (Chief Executice Direcor - CED) - Pengarah yang mempunyai kuasa eksekutif di dalam perkara-perkara yang dipertanggungjawabkan.
  3. Pengarah Kewangan (Chief Finance Directors - CFD) - Pengarah yang bertanggungjawab mengenai kewangan Syarikat.
dan lain-lain jawatan yang difikirkan sesuai oleh sesebuah Syarikat.

Untuk makluman, bagi menjadi Pengarah, tidak semestinya kena pegang saham melainkan telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung atau pun Arikel Syarikat.

CEO (Chief Executif Officer) - Ketua Pegawai Eksekutif , satu nama yang popular. Ianya :

  1. Tidak semestinya seorang Pengarah.
  2. Tidak semestinya memegang saham. Kadang-kadang telah ditetapkan mereka ini perlu memegang jumlah saham yang telah ditetapkan. Ia bergantung. pada kebiasaanya, kalau mereka orang luar dan ditawarkan menjadi CEO, kalau prestasi amat bagus, pihak Syarikat akan menawarkan sejumlah saham kepada mereka.
Sekarang kita anggap seseorang CEO itu juga merupakan juga seorang Pengarah (CED) yang banyak dipraktiskan oleh Sdn. Bhd. Ada yang guna jawatan CEO, ada juga MD atau pun juga CFD. Jadi, kita kena lihat kedudukan hierarki sesebuah Syarikat. Secara amnya :
  1. Managing Director (Paling atas)
  2. Chief Executive Director (second in ranking)
  3. Board of Directors
Kesemuanya mengikut tugas dan tanggungjawab termaktub oleh sesebuah Syarikat. Apabila CEO membuat sesuatu projek, ianya perlu mendapat kelulusan BOD. Ianya perlu memaklumkan tentang projek tersebut, kepentingan dia (sekiranya ada) dan perkara-perkara berkaitan. Sekiranya beliau membuat projek tanpa mendapat tanpa kelulusan BOD, tindakan boleh diambil keatasnya. Begitu juga perkara-perkara yang melibatkan kepentingan diri sendiri. CEO mahupun MD tidak boleh membuat sesuatu perkara tanpa menjelaskan dan memberitahu kepada BOD.

SENARIO

Katakan anda dan kawan anda menubuhkan sebuah Syarikat Sdn. Bhd. Anda hanya pegang RM1 sahaja, manakala kawan anda pegang RM1 juta saham. Anda dan kawan anda juga merupakan Pengarah Syarikat. Kawan anda tidak boleh melakukan sesuka hati (maksudnya beliau tidak boleh melakukan perkara-perkara yang salah). Anda ada hak walaupun anda pegang saham RM1 sahaja. Menarik bukan?

p/s: harap ini membantu

SYARIKAT: AUTHORISED & PAID-UP CAPITAL (MODAL DIBENARKAN & MODAL BERBAYAR)


Quote:
Originally Posted by Hanny Damiea
Hmmm..nak tanya sikit la tentang modal..ada macam2 nama pulak la..modal berbayar la, modal dibenar la...
Salam.
Modal Dibenarkan - Authorised Capital. Ianya dikategorikan dalam susunan seperti di bawah:
1. Modal - RM100,000
2. Modal - RM500,000
3. Modal - RM1,000,000
4. Modal - RM5,000,000
5. Modal - RM10,000,000
6. Modal - RM25,000,000 dan seterusnya.

Modal Dibenarkan (Authorised Capital) di atas tadi adalah had-had modal yang dibenarkan untuk diterbitkan. Contoh RM100,000, maka had yang boleh diterbitkan adalah terhad kepada RM100,000 sahaja. Kalau nak lebih contohnya RM500,000, maka kena mohon dan daftar di SSM.

Modal Berbayar (Paid-up Capital) adalah modal yang telah dilanggan dan dibayar. Di sini, ia perlu mematuhi had maksimum Modal Dibenarkan (Authorised Capital) di atas tadi. Sebagai contoh, Modal Dibenarkan (Authorised Capital) adalah RM500,000, maka modal yang boleh dilanggan dan dibeli adalah terhad kepada (maksimum) RM500,000, tidak boleh lebih.

Kalau mahu lebih, perlulah diubah dan ditambah akan Modal Dibenarkan (Authorised Capital) ke had yang lebih tinggi seperti RM1,000,0000.

p/s: harap ini membantu

SENARIO: PEMILIKAN, PENUKARAN & PEMINDAHAN SAHAM SYARIKAT


Quote:
Daripada huraian di atas, adakah sesuatu perjanjian seperti pemilikan saham atau pemberian imbuhan telah dibuat semasa proses pemerbadanan syarikat atau perlu ada perjanjian tambahan untuk mengelak kejadian di atas daripada terjadi.
1. Sebarang perjanjian dibuat sebelum penubuhan Syarikat adalah tidak sah sebab Syarikat masih belum ditubuhkan.
2. Pada kebiasaanya, imbuhan-imbuhan akan ditetapkan bersama Pemegang Saham ataupun Lembaga Pengarah di dalam Mesyuarat Agung dan juga bergantung kepada situasi. Sebagai Pengarah kita tidak boleh sewenang-wenangnya meletakkan ganjaran sesuka hati terutamanya yang tidak rasional. Ini mungkin akan menimbulkan masalah terutama kepada Pemegang Saham mahu pun Pengarah-pengarah lain yang tidak berpuas hati. Namun begitu, tindakan sewajarnya adalah menyatakan dalam bentuk bertulis (Resolusi) akan ganjaran-ganjaran yang boleh diperolehi dan mendapatkan kelulusan Para Pengarah atau Pemegang Saham lain. Perkara ini banyak bergantung kepada toleransi dan persetujuan bersama. Pengarah juga tidak boleh membuat sesuatu yang mana beliau mempunyai kepentingan sendiri melainkan memberitahu dan mendapat kelulusan Lembaga Pengarah.

Quote:
Pada pandangan saudara, apakah cara yang menjadi asas terbaik yang boleh kita lakukan melalui proses undang-undang dan tentunya semasa proses pemerbadanan syarikat supaya dapat dijadikan panduan asas kepada bakal pemegang saham syarikat untuk mengawal kejadian daripada menyusahkan diri di kemudian hari?
Proses undang-undang boleh dilakukan sekiranya terdapat pelanggaran atau kesalahan seperti yang termaktub di dalam Akta Syarikat. Oleh yang demikian, sebagai Pemegang Saham mahu pun sebagai Pengarah perlulah:
1. Sentiasa berhati-hati dalam sebarang urusan berkaitan hal-ehwal Syarikat sekiranya memegang jawatan Pengarah atau juga selaku Pemegang Saham.
2. Kena faham hak-hak dan tanggungjawab sebagai Pemegang Saham, Pengarah dan Syarikat. Amat Penting.
3. Sentiasa menimba ilmu dalam bidang dan jawatan kita ceburi. Sila faham juga akan Borang-borang yang kita tanda tangani.
4. Kena faham Akta Syarikat, Memorandum & Artikel Syarikat. Ini penting.
5. Merujuk kepada orang yang bertanggungjawab seperti Company Secretary, Lawyer, Auditor, Akauntan dsb bagi mendapatkan penjelasan dan kefahaman yg lebih tentang sesuatu pekara.

Quote:
Seperti apa yang diterangkan, penjualan atau pemindahan saham oleh pemegang saham tidak memerlukan kelulusan sesiapa. Adakah cara ini telah ditetapkan dalam Akta Syarikat atau boleh diubah, atau ada syarat-syarat tertentu yang telah ada dalam Akta Syarikat 1965? Apakah rasionalnya cara ini atau ini adalah memang cara pemegang saham penjual atau memindahkan saham mereka? Bagaimana cara ini masih dapat melindungi pemegang saham lain supaya mereka tidak terlibat dengan risiko yang tidak baik dari situasi ini? Sekian.
Penjualan saham individu atau entiti yang memegangnya adalah hak mereka. Mereka boleh menjual kepada sesiapa sahaja. Tiada larangan atau sekatan di dalam Akta Syarikat. Namun sesetengah kes terdapat beberapa perkara khas tentang pekara pemindahan dan pengubahan saham yang mana ianya perlu dipatuhi seperi termaktub di dalam Artikel Syarikat. Menurut Seksyen 8 Akta Syarikat menerangkan bahawa saham-saham boleh dipindahkan secara bebas oleh pemegang-pemegang saham kecuali terdapat peruntukkan yang spesifik telah dinyatakan di dalam Artikel sesebuah Syarikat. Ini lebih banyak merujuk kepada prosedur-prosedur pemindahan dan pematuhan. Namun pekara ini jarang-jarang berlaku terutamanya pada Syarikat-syarikat biasa.

Cuma di sini, kita perlu mengkaji akan impak dari penjualan saham tersebut. Contoh, kalau kita pegang majoriti saham, katakan 80% dan kemudian kita jual semua kepada Syarikat, secara automatik, Syarikat akan menjadi anak Syarikat kepada pemegang saham baru. Bagi Syarikat Berhad (Public Listed) pula, mereka mempunyai tatacara dan polisi-polisi tertentu tentang penjualan saham seperti contoh yang saya nyatakan di atas.


Bagi pemegang saham lain, ianya jarang memberikan risiko tak baik. Sebarang pemindahan atau penjualan saham kepada yang lain secara dasar tidak memberikan kesan yang buruk atau tidak baik kerana tujuan Syarikat adalah untuk berniaga dan bagi pemegang saham pula ingin mendapat pulangan terhadap modal mereka tadi dalam bentuk Dividen.


p/s: Harap ini membantuNote : Dipetik dari Forum Carigold
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=2868
u

SENARIO: SIAPAKAH PEMILIK SEBENAR PERNIAGAAN SDN. BHD.



Apa yang saya tahu Syarikat Sdn. Bhd ditubuhkan jika ada minimum 2 pemegang saham dan pengarah mengkehendakinya ditubuhkan. Syarikat Sdn. Bhd. adalah entiti yang berlainan dengan pemegang saham dan apa yang saya tahu, jika perniagaan telah diperbadankan, pemegang saham bukan pemilik sebenar syarikat tersebut.
Di sini kita perlu memahami dan tahu apa itu:

a. Syarikat
Syarikat adalah merupakan satu perbadanan yg menjalankan perniagaan untuk tujuan perdagangan dan perindustrian dan ianya perlulah didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965. Apabila sesebuah Syarikat diperbadankan bererti ia mempunyai entiti undang-undang yang khusus dan berasingan daripada personaliti ahli-ahlinya serta mempunyai hak-hak dan tanggungjawab tertentu iaitu Syarikat boleh mendakwa dan didakwa atas namanya sendiri, mempunyai hak untuk memiliki harta sendiri, tanggungan atau liabiliti ahli-ahli syarikat adalah terhad dan sebagainya.


b. Pemegang Saham
Merupakan entiti yang memegang sejumlah saham di sesebuah entiti perbadanan seperti Syarikat yang mempunyai modal dalam bentuk saham.


c. Pengarah (Lembaga Pengarah)
Pengarah adalah sebagai pemegang amanah dan wakil kepada Syarikat.

Syarikat adalah entiti perundangan yang mempunyai hak dan tanggungjawabnya sendiri. Syarikat tidak mempunyai entiti fizikal. Pengurusannya adalah di tangan Pengarah-pengarah. Kuasa-kuasa yang diberikan kepada mereka adalah melalui M&A Syarikat. Mereka adalah wakil kepada Syarikat kerana Syarikat berfungsi melalui mereka (Pengarah).

Apabila Syarikat ditubuhkan, maka akan wujudnya Pemegang Saham, Syarikat dan Lembaga Pengarah.

Isu :
1. Sekiranya pemegang saham bukan pemilik sebenar syarikat tersebut, siapa pemilik sebenar? Mungkin Lembaga Pengarah, atau Kerajaan?
2. Siapa pula yang melantik para Pengarah?

Disini kefahaman mendalam amatlah penting mengenai 3 pekara di atas. Sekiranya anda memegang sesuatu saham, anda merupakan sebahagian daripada entiti tersebut. Dan sekiranya anda memegang majoriti sesuatu saham syarikat maka, kuasa anda besar dalam bentuk undian. Dengan undian majoriti, anda boleh menentukan dan melantik Pengarah yang anda suka sama ada anda sendiri atau kroni anda.

Katakan anda sendiri juga menjadi Pengarah, anda akan dipanggil Director Shareholders iaitu Pengarah yang memegang saham. Pengarah yang memegang saham, apatah lagi majoriti saham, secara amnya mempunyai kuasa yang besar dan mempengaruhi hala tuju Syarikat. Namun begitu, walaupun mempunyai kuasa yang besar, ianya masih terikat dengan undang-undang Syarikat dan juga seperti termaktub dalam M&A Syarikat.

Katakan pula anda malas nak berniaga tetapi anda mempunyai modal, anda akan menjadi majoriti Pemegang Saham Syarikat (katakan 90%) tetapi bagi jawatan Pengarah Syarikat pula, anda lantik orang lain. Namun apabila setelah sekian lama berniaga melalui Syarikat Sdn. Bhd., syarikat tersebut tidak menguntungkan atau tidak berapa berjaya dan besar kemungkinan akibat pengurusan tidak berapa cekap, siapa yang boleh memperbetulkan keadaan, sudah tentu Pemegang Saham di mana mereka boleh melantik Pengarah baru di Mesyuarat Agung melalui kuasa undian. Oleh yang demikian, siapa yang lebih berkuasa? Maka, isu PEMILIKAN dan juga KONSEP ENTITI BERASINGAN haruslah difahami dan selari dengan konsep Syarikat melalui Akta Syarikat yang termaktub.

Jadi dari kenyataan di atas, apakah kebaikan atau manfaat yang diperoleh oleh pemegang saham yang menubuhkan syarikat tersebut, sedangkan tujuan syarikat tersebut diwujudkan adalah untuk mendapatkan manfaat darinya oleh pemegang saham?
Sekiranya tiada manfaat atau kebaikkan, maka tidak perlulah tubuhkan Sdn. Bhd. Buat susah-susah sahaja. Bang duit lagi nak tubuh, nak bayar monthly charges lagi. eermmmmm

Telah dibincangkan di thread ini tentang kelebihan dan kebaikkan juga tentang kelemahan Syarikat Sdn. Bhd. untuk ringkasan semula. Bagi Pemegang Saham biasa sahaja, mereka akan mendapat Dividen sekiranya Syarikat mendapat keuntungan. Bagi Pemegang Saham yang juga merupakan Director, kelebihan seperti penjimatan cukai, mendapat pendapatan (Gaji atau remunerations) dan macam-macam lagi.

p/s: Berniaga melalui entiti Syarikat Sdn. Bhd. tidaklah susah. Hanya membezakan dari segi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Keep it simple and try to be the best in your business fields. Yang penting, kita memperolehi manfaat di setiap perkara yang kita buat.

Note : Dipetik dari Forum Carigold
http://www.carigold.com/portal/forums/showthread.php?t=28688

January 2, 2009

SYARIKAT: JENIS-JENIS SAHAM, BON & DEBENTUR



DEFINISI

Seksyen 4 Akta Syarikat definisikan saham sebagai 'saham dalam saham modal sesebuah perbadanan dan termasuk stok kecuali di mana perbezaan di antara stok dan saham dinyatakan atau disiratkan.


CIRI SAHAM

Seksyen 98 Akta Syarikat, 'saham atau lain-lain kepentingan mana-mana ahli di dalam Syarikat hendaklah merupakan harta alih, boleh dipindahkan dengan cara yang diperuntukkan oleh Artikel-artikel Persatuan dan tidak boleh merupakan sifat harta tak alih.

JENIS-JENIS SAHAM


1. Saham Biasa (Ordinary Share)
2. Saham Keutamaan (Preference Shares)
3. Debentur.


1. SAHAM BIASA (ORDINARY SHARES)

Juga dikenali sebagai Saham Ekuiti. Pemegang saham diiktiraf sebagai pemilik perniagaan. Ia merupakan saham yang paling lazim dikeluarkan oleh sesebuah Syarikat. Saham yang diterbitkan tanpa mempunyai tempoh matang dan pemilik boleh menjual sahamnya bila-bila masa.

Hak-hak Pemegang Saham Biasa:
1. Hak-hak mengundi termasuk dalam memilih dan menentukan Ahli Lembaga Pengarah.
2. Hak Preemtif - iaitu mendapat keistimewaan untuk membeli saham tambahan Syarikat terlebih dahulu sebelum dijual oleh kepada orang luar. Ini dapat mengekalkan peratus pemilikannya dalam Syarikat.

Kebaikan Saham Biasa:
1. Bayaran dividen bukannya satu kemestian
2. Tidak mempunyai tempoh matang
3. Meningkat kebolehupayaan kredit Syarikat
4. Meningkat kepercayaan dalam permohonan kemudahan, pinjaman, fasiliti dsb


2. SAHAM KEUTAMAAN (PREFERENCE SHARES)

Saham yang menggabungkan sebahagian ciri-ciri Saham Biasa dan sebahagian ciri-ciri Bon. Seksyen 4 Akta Syarikat definisikan Saham Keutamaan sebagai 'saham dengan apa-apa pun namanya dipanggil, yang tidak memberik hak kepada pemegangnya kepada hak untuk mengundi di Mesyuarat Agung atau kepada apa-apa hak untuk menyertai melebihi amaun yang ditetapkan dalam apa-apa pembahagian sama ada secara dividen atau ke atas penebusan, dalam sesuatu penggulungan atau selainnya'.

Hak-hak Pemegang Saham Keutamaan:
1. Keutaman tuntutan terhadap pembahagian dividen. Pemegang saham keutamaan berhak menerima kadar dividen yang tetap dan tidak bergantung kepada jumlah keuntungan yang diperolehi. Dividen yang diterima adalah tetap dan terjamin.
2. Dividen saham keutamaan akan dibayar dahulu sebelum pembayaran dividen kepada pemegang saham biasa.
3. Di dalam kes penggulungan syarikat, pemegang saham keutamaan mempunyai keutamaan tuntutan ke atas pembahagian aset syarikat. Saham keutamaan akan dilunaskan selepas tuntutan Pemiutang (Creditors) selesai.
4. Pemegang saham keutamaan bukan pemilik Syarikat dan tidak berhak untuk mengundi atau campur tangan dalam pengurusan dan pentadbiran.


3. BON & DEBENTUR

Merupakan satu sekuriti jangka panjang yang diterbitkan oleh sesuatu entiti seperti Syarikat, Firma atau Kerajaan untuk mendapatkan pembiayaan jangka panjang yang besar. Bon menjanjikan bayaran semula prinsipal (modal asal) pada tarikh matang di samping bayaran faedah yang tetap secara berkala untuk sesuatu tempoh tertentu. Seksyen 4 Akta Syarikat definisikan, 'Debentur termasuklah stok debentur, bon, nota & lain-lain sekuriti perbadanan sama ada merupakan cagaran ke atas aset-aset perbadanan atau tidak.

Kos pinjaman terhad kepada bayaran bunga sahaja sahaja dan bayaran faedah bon boleh ditolak cukai pendapatan dan peminjam dapat mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar.
Debentur digunakan oleh sesuatu Syarikat untuk mendapatkan modal bagi pembesaran Syarikat. Ianya merupakan satu cara tambahan untuk mendapatkan modal tanpa menggadaikan aset syarikat seperti tanah untuk mendapat pinjaman daripada bank.

SYARIKAT: PANDUAN & HAK PARA PENGARAH


Syarikat tidak boleh mengurus dirinya dan perlu diurus oleh para Pengarah yang dilantik oleh Pemegang Saham Syarikat. Syarikat perlu diurus oleh Pengarah-pengarahnya yang bertanggungjawab dalam segala tindakan pengurusannya kepada Pemegang Saham Syarikat keseluruhannya. Walaupun Pemegang Saham mempunyai kuasa untuk melantik dan menyingkirkan pengarah-pengarah, tetapi tidak mempunyai hak mutlak untuk menjadi pengarah dan masuk campur dalam urusan pengurusan syarikat. 


Pada amnya pemegang-pemegang saham terpisah daripada kuasa pengurusan syarikat. Semuanya diserahkan kepada Pengarah-pengarah untuk mengurus dan mengawalnya. Jika sesuatu keputusan pengurusan itu tidak dipersetujui oleh pemegang-pemegang saham, mereka mempertikaikan dan menyoal keputusan-keputusan Pengarah-pengarah itu dalam mesyuarat agung atau mengantikan saja Pengarah-pengarah yang ada dengan orang lain :


DEFINISI

Seksyen 4 Akta Syarikat mendefinisikan 'Pengarah sebagai Pegawai Eksekutif utama sesebuah Syarikat yang pada masa itu dengan apa-apa pun nama yang dipanggil dan sama ada atau tidak ia seorang Pengarah'. Akta Syarikat juga mengatakan Pengarah termasuklah 'mana-mana orang yang menduduki kedudukan Pengarah perbadanan melalui apa-apa pun nama yang dipanggil dan temasuklah seseorang mengikut mana-mana arahan atau perintah Pengarah-pengarah perbadanan tersebut lazim bertindak dan Pengarah silih ganti atau Pengarah ganti'.

Setiap Syarikat disyaratkan mempunyai sekurangnya 2 orang Pengarah dan tiada had berkanun mengenai bilangan maksima melainkan yang telah ditetapkan oleh Artikel Syarikat. Pada kebiasaanya maksima bilangan Pengarah dalam Artikel Syarikat adalah 50 orang.

Akta Syarikat 1965 menerangkan hanya 2 kelayakan yang diperlukan untuk membolehkan sesorang itu menjadi Pengarah Syarikat :
1. Ia mestilah seorang manusia
2. Ia mestilah cukup umur dan berkeupayaan


KUASA PERLANTIKAN PENGARAH

Kuasa melantik Pengarah merupakan suatu kaedah yang termaktub di dalam M&A Syarikat. Undang-undang tidak menghadkan cara atau larangan ke atas apa yang tertulis di dalam M&A di dalam melantik sesorang Pengarah. Pada kebiasaanya kuasa perlantikan ini diperolehi di dalam mesuarat am Pemegang Saham. Namun begitu satu peruntukkan boleh dibuat bagi membolehkan Lembaga Pengarah atau orang luar melantik Pengarah secara sah.

Terdapat 3 cara perlantikan Pengarah:

  1. Melalui M&A - Setelah diperbadankan dan dimasukkan nama Pengarah ke dalam Artikel atau Memorandum Syarikat.
  2. Melalui perlantikan Lembaga Pengarah - Melalui resolusi yang dibuat oleh Pemegang Saham atau Lembaga Pengarah.
  3. Dengan jemputan dari Lembaga Pengarah.

    JENIS-JENIS PENGARAH
  • Pengarah Urusan - Managing Director
  • Pengarah Bayangan - Shadow Director
  • Pengarah Eksekutif dan Bukan Eksekutif - Executive and Non Executive Director
Pengarah Urusan - Managing Director:
Pengarah Urusan (MD) merupakan Pengarah yang memiliki kuasa yang luas bagi menentukan operasi dan perlaksanaan Syarikat. Artikel Syarikat seperti menurut Jadual A memberi kuasa kepada Lembaga Pengarah untuk melantik seorang atau lebih dari kalangan mereka sendiri untuk menjadi Pengarah Urusan (MD) pada satu jangka masa tertentu. Pengarah Urusan (MD) boleh juga dilantik melalui Resolusi Mesyuarat Am atau pun seperti yang termaktub dalam Artikel Syarikat.

Pengarah Bayangan - Shadow Director:Menurut Seksyen 4 Akta Syarikat 1965, Shadow Director merupakan orang yang memainkan peranan yang penting di dalam Syarikat. Beliau tidak menjawat jawatan Pengarah dalam Syarikat tetapi 'Pengarah Bayangan merupakan orang yang memberikan segalan arahan dan rancangan yang akan dilakukan oleh Pengarah Syarikat'.

Pengarah Eksekutif and Bukan Bukan Eksekutif - 
Executive and Non Executive Director:
Seseorang pengarah eksekutif biasanya dilantik dari kalangan pengarah-pengarah dan memegang jawatan bergaji dengan syarikat. Sesetengah syarikat melantik kakitangan eksekutifnya daripada kumpulan pengurusan atasan menjadi pengarah, di samping menjawat jawatan pengarah eksekutif. Pengarah bukan eksekutif pula biasanya tidak terlibat dengan urusan harian syarikat, tetapi bertanggungjawab bersama-sama dengan pengarah-pengarah lain dalam merangka dan melaksanakan polisi syarikat. Pengarah bukan eksekutif mempunyai hak dan menanggung liabiliti yang sama seperti pengarah-pengarah lain walaupun tidak memegang jawatan bergaji dan tidak terlibat dalam urusan harian syarikat.

October 20, 2008

BADAN BERKANUN


PENUBUHAN

Pada kebiasannya Badan Berkanun ditubuhkan oleh kerajaan dengan tujuan untuk membangunkan sesuatu industri dan juga menjaga kepentingan rakyat.
  • Diwujudkan melalui Akta Parlimen @ Enakmen Negeri.
  • Ditubuhkan secara perbadanan. Mempunyai tugas dan kaedah pengoperasiannya mirip sektor swasta.
  • Contoh : KWSP, UDA, Suruhanjaya Syarikat Malaysia(SSM), LHDN, Perbadanan Kemajuan Negeri dsb.
  • Beberapa badan berkanun di Malaysia telah diswastakan melalui Dasar Penswastaan dan Pensyarikatan pada tahun 1980an seperti TNB dan Syarikat Telekom Malaysia.
  • Menggabungkan matlamat sosial dengan keuntungan.
KELEBIHAN BADAN BERKANUN
  • Mementingkan kebajikkan masyarakat. Ini merupakan matlamat utama kebajikan sosial.
  • Modal mudah diperolehi dari kerajaan.
KELEMAHAN BADAN BERKANUN
  • Ketidakcekapan berlaku. Tiada wujud persaingan, kurang motivasi untuk bekerja.
  • Badan berkanun yang besar menyebabkan sistem pengurusan yang kompleks dan rumit.
  • Proses membuat keputusan dipengaruhi oleh politik.

KOPERASI


PENUBUHAN

Merupakan perniagaan yang dijalankan sekumpulan individu secara sukarela untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya. Terdapat 2 bentuk koperasi iaitu :
  • Koperasi keahlian terhad - Terhad kepada jenis pekerjaan, kawasan dan latar belakang seperti Koperasi Guru
  • Koperasi keahlian bebas - Iannya terbuka kepada sesiapa saja untuk menjadi ahli seperti Koperasi Pengguna, Koperasi Perumahan
Mengikut Akta Koperasi 1948, koperasi mempunyai prinsip-prinsip seperti keanggota sukarela dan terbuka, perjalanan pengurusan secara demokrasi, bayaran untung atas saham yang terhad, pembahagian untung secara saksama, menggalakkan pendidikan koperasi dan bekerjasama secara aktif, di semua peringkat.

CIRI-CIRI KOPERASI
  • Ditubuhkan dibawah Ordinan Akta Koperasi Malaysia
  • Didaftarkan dengan Jabatan Pembangunan Koperasi
  • Liabiliti Terhad
  • Modal diperolehi melalui yuran, samada yuran bulanan, tahunan atau saham yang dibeli oleh ahli
  • Agihan risiko, keuntungan dan kerugian berdasarkan pegangan saham dan penglibatan ahli-ahli
  • Diuruskan oleh Lembaga Pengarah yang dilantik oleh ahli-ahli koperasi semasa Mesyuarat Agung Tahunan
  • Keuntungan koperasi diagihkan kepada ahli samada satu atau dua kali setahun dalam bentuk dividen atau bonus atau kedua-duanya.
KELEBIHAN KOPERASI
  • Menjaga kepentingan ahli dan bukannya mencari keuntungan semata-mata
  • Mewujudkan kerjasama dan tolong menolong antara ahli
  • Liabiliti terhad
  • Wujud secara berterusan - entiti secara berasingan
  • Mendapat pelepasan cukai bagi koperasi baru atau yang berstatus kecil (tertakluk kpd terma-terma tertentu)
  • Ditadbir secara demokrasi melalui pengundian
  • Peluang mendapat modal tambahan melalui pinjaman Koperasi bagi tujuan perniagaan dsb.


KELEMAHAN KOPERASI


  • Pulangan tetap dan rendah (namum ada sesetengah koperasi mampu memberi dividen yang tinggi kepada ahli-ahli mereka)
  • Pemilikan saham terhad. Sesetengah koperasi menghad jumlah saham yang boleh dibeli dan dipegang.
  • Aktiviti koperasi dikuasi oleh segolongan individu tertentu kerana ahli-ahli koperasi kurang aktif.
  • Operasi dikawal oleh Jabatan Pembangunan Koperasi.

October 19, 2008

SYARIKAT BERHAD (SENDIRIAN, SENDIRIAN BERHAD DAN BERHAD)


PENUBUHAN


Definisi : Ditubuhkan dibawah undang-undang Syarikat yang mempunyai hak dibawahnya untuk menjalankan aktiviti perniagaan, memiliki atau menjual harta, meminjam wang, mengambil dan diambil tindakan oleh mahkamah dan membuat perjanjian dengan senarang entiti.


Syarikat Berhad adalah perniagaan yang ditubuhkan dibawah Akta Syarikat 1965 dan terbahagi kepada 3 bentuk :
  • Sendirian
  • Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.)
  • Berhad (Bhd.)
Syarikat Sendirian Berhad dan Berhad adalah terhad dengan saham.


SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD (SDN. BHD.)

CIRI-CIRI SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD
  • Dikawal dibawah Akta Syarikat 1965 dan merupakan entiti yang sah terpisah daripada pemilik.
  • Dimiliki oleh 2 -50 orang pemegang saham.
  • Pemilik Syarikat mempunyai liabiliti terhad.
  • Pemilik/pemegang saham syarikat menyumbangkan modal
  • Syarikat dianggota lembaga Pengarah sekurang-kurang 2 orang untuk mengetahuai dasar dan matlamat Syarikat.
  • Pemegang saham yang memiliki 51% atau lebih daripada jumlah saham Syarikat berhak untuk mengawal Syarikat tersebut.
  • Saham Syarikat boleh dijual beli tetapi tidak dilakukan di pasaran di pasaran terbuka.
  • Penjualan mesti dengan persetujuan pemegang saham yang lain
  • Tidak disenaraikan di BSKL
  • Jangka hayat perniagaan adalah panjang
  • Boleh dikenali dengan mudah, ada perkataan Sendirian Berhad (Sdn. Bhd.) pada akhir nama Syarikat. Contoh : Rasa Sayang Sdn. Bhd.
SYARIKAT AWAM BERHAD (BHD.)


Ciri-ciri Syarikat Awam Berhad adalah agak sama dengan ciri-ciri Syarikat Sendirian Berhad. Perbezaannya adalah dari segi pemilikan perniagaan. Tiada hadnya bagi mereka yang ingin bagi Syarikat jenis ini. Menurut peruntukkan undang-undang, dihujung setiap nama Syarikat Awam Berhad mesti ditulis nama "Berhad". Pemegang saham bebas menjual dan membeli saham dipasaran saham tanpa memerlukan persetujuan dari sesiapa. Pekara-pekara lain seperti penubuhan, pendaftaraan syarikat, agihan keuntungan dan jangka hayat adalah sama seperti Syarikat Sendirian Berhad.



CIRI-CIRI SYARIKAT AWAM BERHAD
  • Disenaraikan di BSKL
  • Syarikat Berhad adalah syarikat awam yang dimiliki oleh pemegang-pemegang saham.
  • Pembelian dan penjualan saham dibuat tanpa persetujuan pemegang saham yang lain.
  • Bilangan pemegang saham lebih dua orang hingga tiada had.
  • Modal syarikat adalah dari penjualan saham dan bon kepada orang awam.
  • Pemegang saham bebas membeli dan jual di Bursa Saham Malaysia
  • Pemilik syarikat mempunyai liabiliti terhad
  • Pengurusan dan kawalan syarikat adalah tanggungjawab lembaga pengarah yang dipilih oleh pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan.
  • Pembahagian untung dan dividen adalah bergantung kepada keuntungan syarikat.
  • Boleh menerbitkan propektus di akhbar
  • Mempunyai perkataan Berhad dihujung nama syarikat : Cth : TNB Berhad.

KELEBIHAN SYARIKAT AWAM BERHAD
  • Modal yang banyak dikumpulkan - orang awam dan pinjaman luaran (Bank)
  • Jangka hayat perniagaan panjang - entiti berasingan pemilik dan syarikat
  • Mudah berkembang - modal besar
  • Risiko pelaburan tidak melibatkan harta peribadi - setakat jumalh dilaburkan
  • Saham mudah dijual - tidak melibatkan banyak prosedur
  • Pegurusan syarikat yang lebih efisien
  • Pemegang saham dilindungi oleg undang-undang.
KELEMAHAN SYARIKAT AWAM BERHAD
  • Pembentukkan syarikat adalah rumit dan mahal. Ia terpaksa melalui prosedur kawalan yang ketat seperti termaktub dibawah Akta Syarikat 1965
  • Saiznya besar dan adanya banyak cawangan. Ini akan merumuitkan akan pengurusan. Kebiasaanya banyak masalah timbul dikalangan pihak pengurusan dan pekerja.
  • Operasi perniagaan dikawal oleh undang-undang dan peraturan yang ketat.

PERKONGSIAN (PARTNERSHIPS)


PENUBUHAN


Sebuah perkongsian ditubuhkan dengan mendaftarkan penubuhannya dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Perkongsian wujud dengan pelbagai cara. Antaranya:
  • Persetujuan menjalankan perniagaan di antara dua individu.
  • Persetujuan menjalankan perniagaan perkongsian di antara dua ahli perniagaan (peniaga milik tunggal) tidak kira bentuk asal sama ataupun tidak selepas bergabung, asalkan bersetuju menjalankan perniagaan bersama.
  • Persetujuan antara dua pihak (individu dan peniaga) menjalankan perniagaan bersama bagi tujuan bantuan modal.
CIRI-CIRI PERKONGSIAN
  • Tiada klausa dalam Akta Perkongsian 1961 menyebut tentang bilangan maksimum pekongsi, hanya menyatakan bilangan minimum pekongsi iaitu 2 orang. Namun Seksen 14(3)(b) Akta Syarikat ada menyatakan bilangan maksimum pekongsi sesebuah perkongsian ialah 20 orang. Walaubagaimanapun, bagi perniagaan berbentuk profesional seperti guaman, akauntan dan arkitek, keahliannya boleh meningkat sehingga 50 orang.
  • Dari segi perundangan, perkongsian tidak dianggap entiti berasingan dengan pekongsi (liabiliti tidak terhad). Ini bermakna segala urusan yang dibuat oleh seseorang pekongsi akan mengikat perkongsian keseluruhannya. Contoh: Jika pemiutang (creditors) menuntut wang dari perkongsian, setiap perkongsi bertanggungjawab melunaskan tuntutan tersebut. Jika mana-mana pekongsi gagal melunaskan tuntutan tersebut, pekongsi lain wajib membantu untuk melunaskannya. Dari segi perundangan, perkongsian tidak dianggap entiti berasingan dengan pekongsi. Rujukan Seksyen 7,8,11 dan 12 Akta Perkongsian 1961.
  • Terikat dengan surat ikatan perjanjian di antara rakan kongsi. Surat perjanjian perkongsian menentukan kuasa & tanggungjawab rakan kongsi & syarat-syarat lain. Rakan-rakan kongsi dikehendaki menyumbang modal menikut nisbah modal yang dipersetujui dalam Artikel Perkongsian. Keuntungan dan kerugian diagihkan kepada rakan kongsi mengikut syarat-syarat dan nisbah modal yang disumbangkan seperti dalam Artikel Perkongsian.
PERJANJIAN PERKONGSIAN


Perjanjian perkongsian adalah perlu bagi sesebuah perkongsian untuk mengurus tadbir perjalanan
sesebuah perkongsian. Antara butiran-butiran perjanjian perkongsian pada kebiasaanya adalah:
  • Nama perkongsian, aktiviti perniagaan, lokasi, jumlah dan serta nama pekongsi.
  • Perakaunan dan tempat rekod disimpan.
  • Pentadbiran atau pengagihan kuasa dalam perkongsian.
  • Penentuan dalam kadar untung atau rugi.
  • Peruntukkan dan had ambilan bagi pekongsi dan kadar faedah dikenakan.
  • Jumlah sumbagan modal pekongsi dan peruntukkan kadar faedah atas modal.
  • Gaji, elaun dan ganjaran dalam pekongsi.
  • Harta perkongsian.

PERKONGSIAN TANPA PERJANJIAN


Urus tadbir sesuatu perkongsian dibuat berdasarkan Seksyen 26 Akta Pekongsian 1961 sekiranya
tiada sebarang perjanjian dibuat. Huraian mengenai Subsekyen 26 Akta Perkongsian anataranya:

  • Pekongsi berkongsi secara sama-rata ke atas keuntungan atau kerugian perkongsian.
  • Setiap pekongsi berhak menerima faedah 8% setahun ke atas pendahuluan (pinjamanan) yang diberikan kepada perniagaan perkongsian.
  • Pekongsi berhak mendapat faedah atas modal hanya setelah keuntungan ditentukan.
  • Setiap pekongsi berhak mengurus perniagaan.
  • Tiada gaji diberi walaupun pekongsi terlibat secara urusan harian perniagaan.
  • Seorang pekongsi tidak diiktiraf tanpa persetujuan semua pekongsi.
  • Keputusan majoriti diterima sekiranya wujud perbalahan berkenaan dengan perniagaan tetapi jika perkongsian ingin mengubah aktiviti perniagaan, keputusan sebulat suara (100%) mesti diperolehi.
  • Buku dan rekod perakaunan perkongsian disimpan di premis perniagaan. Setiap pekongsi berhak menyemak dan membuat salinan rekod tersebut.

KEBAIKAN PERKONGSIAN
  • Pengumpulan modal, pengalaman dan tenaga kerja yang banyak di kalangan pekongsi.
  • Risiko keuntungan dan kerugian diagihkan kepada pekongsi.
  • Kos penubuhan lebih murah dan tatacara penubuhan yang mudah berbanding dengan Syarikat Sdn. Bhd.

KELEMAHAN PERKONGSIAN
  • Liabiliti tidak terhad.
  • Proses mengambil keputusan mungkin mengambil masa kerana memerlukan persetujuan semua pekongsi.
  • Penambahan modal terhad kepada keupayan pekongsi.
  • Pembubaran: Perkongsian mungkin dibubarkan jika salah seorang pekongsi ingin membubarkan perkongsian, kematian atau persaraan, gila atau tindakan undang-undang.

October 18, 2008

PEMILIKAN TUNGGAL (ENTERPRISE)


PENUBUHAN

Seksyen 4, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 mentafrifkan perniagaan tunggal sebagai perniagaan yang ditubuhkan, dipunyai, dibiayai dari segi kewangan dan pegurusannya dikendalikan oleh seorang individu sahaja. Ia lazimnya melibatkan perniagaan secara kecil-kecilan.

Jenis perniagaan ini selalunya dimiliki oleh orang perseorangan di mana segala urusan perniagaan bergantung kepadanya. Tanggungjawab pemilik tunggal adalah tidak terhad. Sekiranya perniagaan tersebut gagal dan diistiharkan bankrap, si pemiutang (creditors) boleh menyaman pemilik bagi menuntut hutang. Mereka yang mendapat arahan mahkamah boleh menuntut di atas harta persendirian pemilik tunggal, termasuk rumah, kereta dan sebagainya. Entiti perniagaan ini senang dan mudah ditubuhkan kerana kurangnya formaliti yang perlu dipatuhi.

Walau bagaimanapun, perniagaan tunggal tidak dibenarkan menggunakan nama-nama yang ada kaitan dengan Kerajaan Pusat atau Kerajaan Tempatan. Contohnya: "Perniagaan Kerajaan Melaka". Ini bertujuan untuk mengelakkan salah tafsiran orang ramai yang berurusan dengan perniagaan itu. Perniagaan tunggal juga tidak boleh menggunakan nama-nama sensitif dan nama-nama yang bertentangan dengan moral. Contohnya: "Perniagaan Tipu & Putar Alam Malaysia".



CIRI-CIRI PEMILIKAN TUNGGAL
  • Pemilik tunggal atau persendirian.
  • Dimiliki oleh seorang individu yang mempunyai tanggungjawab peribadi terhadap hutang (liabiliti tak terhad).
  • Kebiasaan modal diperolehi daripada simpanan dan pinjaman rakan dan saudara-mara.
  • Mudah ditubuhkan dan tidak melibatkan prosedur yang rumit.
  • Menanggung liabiliti yang tidak terhad.
  • Berhak mendapat kesemua keuntungan dan juga menanggung segala juga kerugian perniagaan.
  • Cukai dikenakan dalam bentuk Perseorangan melalui Cukai Pendapatan (LHDN).
  • Jangka hayat perniagaan tunggal ini adalah terhad. Sekiranya pemilik perniagaan meninggal dunia maka perniagaan tersebut akan terbubar.
  • Merupakan perniagaan yang paling banyak diamalkan di Malaysia.
  • Contoh : Kedai Tom Yam Anie, Kedai Rucit Raya, Kedai Perabot Mas, Kedai Motor Abu dsb.
KELEBIHAN PEMILIKAN TUNGGAL
  • Hak milik persendirian.
  • Mudah ditubuhkan atau dibubarkan kerana tiada banyak prosedur yang perlu diikuti.
  • Modal yang kecil bagi memulakan perniagaan.
  • Keputusan perniagaan dibuat sendiri.
  • Hak sepenuhnya ke atas segala keuntungan mahupun kerugian.
  • Akaun perniagaan tidak perlu diaudit.
KELEMAHAN PEMILIKAN TUNGGAL
  • Menanggung liabiliti tidak terhad.
  • Sukar mendapat bantuan modal yang besar.
  • Jangka hayat yang terhad iaitu bergantung kepada usia pemilik.
  • Kadar cukai agak tinggi berbanding dengan Cukai Syarikat Sdn. Bhd.

PENGENALAN: BENTUK PEMILIKAN PERNIAGAAN


BENTUK PEMILIKAN PERNIAGAAN :


  • Pemilikan Tunggal (Enterprise)
  • Perkongsian (Partnership)
  • Syarikat (Sendirian Berhad (Sdn.Bhd.) dan Awam (Berhad))
  • Koperasi
  • Badan-Badan Berkanun

FAKTA PENTING
  • Tidak ada satu bentuk milikan perniagaan yang terbaik. Ianya bergantung kepada keperluan seorang pemilik atau bakal pemilik.
  • Jenis milikan perniagaan di Malaysia tertakluk kepada Peruntukan Akta-akta yang temaktub.
  • Pendaftaran perniagaan perlu mengikuti prosedur dan tataurus yang telah ditetapkan.
  • SSM bertanggunjawab ke atas pentadbiran & penguatkuasaan undang-undang berikut: Akta Syarikat, Perniagaan, Perkongsian Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dsb.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...